Operasi yang bermula sekitar jam 9.30 malam hingga 3 pagi itu menyasarkan hotel-hotel bajet yang dipercayai digunakan oleh pasangan untuk tujuan maksiat.
Seramai 12 anggota penguat kuasa JHEAINS, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah memeriksa beberapa bilik di empat hotel bajet di sekitar Lahad Datu.
Menurut Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Mardi Ariffin, operasi ini bertujuan memastikan masyarakat tidak terlibat dalam perbuatan yang mendekati zina.
“Kita tidak mahu masyarakat, khususnya umat Islam, terjebak dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi yang mendekati zina atau mukadimah zina, sama ada di tempat tertutup mahupun terbuka,” katanya.
Dalam operasi tersebut, empat pasangan yang bukan suami isteri telah ditahan atas kesalahan berkhalwat kesemua mereka berumur lingkungan 20-an.
Turut ditemui ketika operasi tersebut adalah kondom dan ubat kuat dipercayai digunakan oleh pasangan terbabit.
Salah seorang lelaki yang ditahan mengakui dia dan pasangannya sedang mengumpul wang untuk berkahwin.
“Ya, kami memang ada perancangan untuk berkahwin. Sekarang tengah kumpul duit,” katanya ketika ditemu bual.
Seorang lagi individu yang ditahan mengakui sudah mengenali pasangannya lebih setahun dan menyesali perbuatannya.
“Saya menyesal… Saya tahu benda ni salah,” katanya.
Kesemua yang ditahan didakwa di bawah Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah kerana kesalahan khalwat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
