KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha melestarikan alam sekitar menerusi inisiatif Ekosetiawangsa.

Inisiatif tersebut merupakan usaha menjadikan kawasan Setiawangsa sebagai ‘urban eco-district’ yang mengamalkan gaya hidup lestari.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia merangkumi aspek tenaga hijau, mobiliti rendah karbon, pengurusan sisa kitaran dan komuniti lestari.

"Dengan mengamalkan gaya hidup lestari, Setiawangsa akan menjadi satu kawasan yang neutral karbon, hijau dan inklusif di mana faedahnya dapat dinikmati oleh setiap penduduk,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Alam Kita 2024 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, pada Ahad.

xxx

Turut hadir, Ketua Setiausaha NRES, Datuk Ching Thoo Kim; Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang; Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Norsham Abdul Latip; serta ketua-ketua dan agensi di bawah NRES.

Kementerian juga menghargai usaha diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk dalam memilih Wangsa Maju sebagai Pusat Pertumbuhan Neutral Karbon (PPNK) 2050.

“Ia telah melibatkan pelbagai agensi kerajaan pusat dan juga pihak-pihak lain, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Urbanice Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia serta Pejabat Parlimen Setiawangsa.”

“Satu lagi aspek yang sangat penting bagi memastikan inisiatif EkoSetiawangsa ini efektif dan berterusan ialah penglibatan secara kolaboratif dan bottom-up daripada pelbagai pihak berkepentingan terutamanya penduduk setempat, entiti komersil, agensi kerajaan, persatuan dan NGO,” ujarnya.

Antara rakan strategik EkoSetiawangsa termasuk GreenSteps Malaysia, KLEAN, Grab, ERTH, Maribumi Starchtech, FatHopes, Friends of Bukit Dinding, JPSM, Kumpool, serta Alam Flora.

Selain itu, juga berlangsung pelancaran web portal Ekosetiawangsa, penyerahan surat niat kepada rakan strategik, penyerahan kunci trak pikap EV pertama di Malaysia daripada Weststar dan pelancaran pek minuman air mineral dalam bungkusan lestari jenama Borneo Spring oleh F&N.

Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun lepas, turut dijalankan Sambutan Jubli Emas Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 iaitu salah satu elemen penting di dalam usaha melestarikan alam sekitar melalui penguatkuasaan akta.

xxx