Ringkasan AI
- Malaysia berperanan penting sebagai Pengerusi ASEAN di COP30 Brazil, memuktamadkan Penyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim untuk memperkukuh kerjasama rantau dan mempercepatkan pembangunan lestari.
- Malaysia berusaha memastikan negara ASEAN bekerjasama mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan karbon neutral, serta meningkatkan pengaruh serantau dalam isu iklim global.
- Memorandum kerjasama dimeterai untuk mendepani pertumbuhan pasaran karbon ASEAN, sementara COP29 di Azerbaijan memuktamadkan komitmen kewangan iklim, termasuk dana untuk kehilangan dan kerosakan akibat perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan usaha itu akan dilakukan dengan memuktamadkan Penyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim yang akan menyatakan keperluan bersama rantau Asia Tenggara di peringkat global.
"Pernyataan ini akan mencerminkan komitmen ASEAN terhadap matlamat iklim yang bercita-cita tinggi, memperkukuhkan kerjasama serantau, dan mempercepatkan inisiatif pembangunan lestari," katanya ketika berucap di Pavilion Malaysia COP29 pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata: "Dengan memimpin usaha ini, Malaysia bukan sahaja ákan memperkukuhkan kedudukan ASEAN dalam perbincangan iklim global tetapi menggerakkan kemajuan bermakna dalam menangani krisis iklim,".
Selain itu, katanya Malaysia juga berhasrat untuk memastikan bahawa setiap negara ASEAN dapat bekerjasama dalam mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan karbon neutral.
"Dengan usaha bersama ini, kita berupaya memacu perubahan bermakna dan memastikan suara serantau kita lebih berpengaruh di peringkat global," kata Nik Nazmi.
Sebagai Pengerusi ASEAN di COP30 tahun depan, Malaysia mengukuhkan peranannya sebagai pemimpin serantau yang komited terhadap pembangunan mampan dan tindakan iklim yang progresif.
Dalam majlis itu juga, turut dimetrai memorundum pertukaran kerjasama bagi mendepani pertumbuhan pesat pasaran karbon di kalangan negara ASEAN.
COP29 yang berlangsung di Baku, Azerbaijan sehingga 22 November ini akan memuktamadkan beberapa ketetapan penting mengenai kewangan iklim termasuk komitmen untuk penyaluran dana kehilangan dan kerosakan bagi negara yang terkesan akibat perubahan iklim.