KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang mengkaji semula keberkesanan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bagi memastikan kempen itu benar-benar memberi impak kepada alam sekitar.

"Buat masa ini, kita telah tanam 58.52 juta pokok tetapi kita nak tengok balik sejauh mana keberkesanan sebab mereka yang tanam hanya tanam pokok. Apa jadi dengan pokok selepas itu sama ada ia sesuai dengan habibatnya dan sebagainya, belum dapat dipastikan.

"Kita tidak mahu aktiviti penanaman pokok ini jadi greenwashing (acah hijau) semata-mata tanpa beri impak yang benar efektif ke arah alam sekitar," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia dan Brunei sedang berusaha memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menerima hasil penandaan dan pengukuran kawasan sempadan yang telah disiapkan setakat ini.

Beliau berkata, setakat hari ini, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menjalankan kerja-kerja penandaan dan pengukuran sejauh 128.45 kilometer (km) di kawasan sempadan kedua-dua negara, dengan baki jarak sempadan darat dijangka dapat disiapkan pada tahun akan datang.

Bagi status pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia, Nik Nazmi berkata, Jupem setakat ini telah menjalankan kerja penandaan dan pengukuran sejauh 1,943 km daripada 2,063 km jarak keseluruhan sempadan darat antarabangsa.

"Masih terdapat kawasan yang masih belum dimuktamadkan dengan jarak 119.9 km iaitu tujuh kawasan bermasalah atau Outstanding Boundary Problems (OBP) dengan tiga OBP di Sektor Sabah-Kalimantan Utara dengan jarak 44 km dan empat OBP di Sektor Sarawak-Kalimantan Barat dengan jarak 52.9 km," katanya.

Nik Nazmi berkata, satu kawasan di barat perairan Pulau Sebatik (Tawau, Sabah) berjarak 23 km juga dalam proses perancangan pengukuran dan perancangan penyelesaian untuk tiga OBP di sektor Sabah-Kalimantan Utara pada 2024.

"Pada waktu ini kedua-dua negara (Malaysia-Indonesia) telah memberikan kerjasama yang baik dalam merunding, merancang dan juga menyelesaikan isu-isu persempadanan ini," katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan berjumlah RM1.67 bilion bagi kementerian berkenaan dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti selepas dibahas 20 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA