IPOH: Notis kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning (N.48) diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menyerahkan notis itu kepada Pengarah SPR Perak Mohd Nazri Ismail dalam satu majlis khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Hadir sama Timbalan Speaker, Jenny Choy Tsi Jen dan Penolong Setiausaha Dewan Negeri, Amir Fadli Mohamed Halmi.

Mohammad Zahir berkata, beliau telah menerima pemakluman daripada Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kematian ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

“Sehubungan itu, selaras dengan Perkara 36 (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka ini hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Ishsam, merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering mengutarakan isu-isu daripada kawasannya.

Di samping itu, katanya, Allahyarham juga aktif dan komited dalam badan legislatif Negeri Perak dan turut dilantik dalam dua Jawatankuasa Dewan Negeri iaitu Jawatankuasa Kebajikan Ahli dan Jawatankuasa Pilihan Khas Haiwan Berkeliaran Negeri Perak.

“Bagi pihak Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh di sisi Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir percaya SPR akan mengambil kira Persidangan DUN Perak yang dijangka pertengahan April dalam menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

“Kita percaya SPR tentulah mengambil kira perkara yang tersebut (dalam menentukan tarikh-tarikh penting itu),” katanya.

Ishsam, 59 tahun, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain masing-masing dari Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim (AMANAH) mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal (Pas) (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi).