Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Malaysia bukanlah negara yang gagal, sebaliknya adalah sebuah negara yang berkembang maju, berjaya menarik pelaburan besar dan diiktiraf oleh institusi kewangan global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa bagi pembaharuan yang dijalankan.

Perdana Menteri berjanji dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, beliau tidak akan menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Beliau melabelkan mereka yang berkata FDI membawa kepada tindakan negara menjual kedaulatan negara sebagai ''pengkritik yang cetek pengetahuan ekonomi''.

"Untuk mengatakan sedemikian adalah benar-benar jahil dan menunjukkan begitu kurangnya kefahaman tentang bagaimana perdagangan antara negara membawa kebaikan kepada semua pihak terutama rakyat. Saya tidak akan menyerahkan seinci pun kedaulatan negara kita. Tidak sekali-kali," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan pada majlis Anugerah Media Asia ke-16 anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA) di sini malam ini. Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Presiden WAN-IFRA Marcelo Rech.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah mengorak langkah dalam membina projek infrastruktur termasuk sistem pengangkutan awam bertaraf dunia yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Negara lain mengiktiraf apa yang kita lakukan. Keyakinan mereka terhadap Malaysia telah dibuktikan beberapa bulan lepas melalui siri pelaburan besar yang diumumkan oleh China, Arab Saudi dan India," katanya.

Najib mengulas laporan yang disiarkan baru-baru ini oleh BAV Consulting dan Wharton School, Universiti Pennsylvania yang menamakan Malaysia sebagai negara terbaik untuk pelaburan dengan menyatakan Malaysia adalah negara pendahulu.

Beliau bagaimanapun memandang berat berita palsu yang diedarkan di arus perdana dan pembohongan diputar belit sebagai fakta termasuk mengenai Malaysia.

Ini merupakan barah dalam kewartawanan yang boleh memberi kesan yang serius, katanya, merujuk kepada contoh apa yang hampir berlaku kepada Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas di Johor.

"Projek Saudi Aramco bernilai US$7 bilion hampir musnah selepas seorang bekas pemimpin membuat dakyah mengenai keadaan ekonomi negara kita, yang dimainkan oleh media," kata Najib.

Perdana Menteri berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak penerbitan, editor dan wartawan untuk mengekalkan kepercayaan pembaca dan berjuang habis-habisan menentang berita palsu yang mengancam merubah kebenaran menjadi satu perkara semata-mata subjektif, dengan hanya sedikit fakta yang sebenar.

"Kerajaan Malaysia akan memihak kepada anda. Apa yang kami minta adalah peluang untuk mengingatkan anda supaya bergantung kepada laporan dan sumber...pada fakta yang sah," katanya dan ini terpakai kepada mana-mana negara jua.

Najib berkata mereka tidak harus bergantung kepada khabar angin, petikan yang tidak menyatakan sumber atau propaganda yang direka.

Beliau juga membidas aktivis asing yang bercakap mengenai 'tindakan keras' terhadap kebebasan bersuara di Malaysia.

"Tetapi dalam akhbar kita, anda dapat melihat terdapat kritikan terhadap kerajaan, pemimpin dan pegawai kita dalam akhbar setiap hari," katanya. -- BERNAMA