Jumlah penumpang yang cedera dalam insiden perlanggaran dua tren SMRT semalam bertambah kepada 36 orang selepas tujuh orang lagi mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong, lapor Channel News Asia hari ini.

Laporan itu menyatakan NUH menerima seorang pesakit manakala Hospital Besar Ng Teng Fong menerima lima pesakit, yang kesemuanya datang sendiri ke hospital berkenaan.

Seorang lagi pesakit dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dengan ambulans.

Setakat 6 petang tadi, empat daripada pesakit itu telah dibenarkan keluar hospital manakala tiga lagi masih dirawat, menurut laporan itu yang memetik kenyataan bersama oleh Lembaga Pengangkutan Darat dan SMRT Corporation.

"Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pengangkutan Darat dan SMRT sentiasa berhubung dengan penumpang yang cedera itu.

"Penumpang lain yang terjejas berikutan insiden pelanggaran semalam boleh berhubung dengan para pegawai bertugas di mana-mana stesen SMRT (di sepanjang Laluan Utara-Selatan, Laluan Timur-Barat dan Laluan Lingkaran) bagi mendapatkan bantuan pada bila-bila masa," kata kenyataan itu.

Nahas itu berlaku ketika waktu puncak semasa sebuah tren yang membawa 517 penumpang pada kelajuan 16 kilometer sejam berlanggar dengan sebuah tren tidak bergerak di stesen Joo Koon di Jajaran Timur-Barat.

Dalam kejadian itu, enam rakyat Malaysia turut cedera dengan lima daripada mereka telah dibenarkan keluar dari hospital semalam dan seorang lagi masih dirawat di NUH.

-- BERNAMA