Lebih seratus ahli keluarga dan sahabat handai hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai di kediamannya, di sini, hari ini.

Dr Sundaran ialah antara enam mangsa terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis.

Suasana pilu menyelubungi kediamannya di sini, ramai yang tidak dapat menahan kesedihan pemergiannya. Hanya airmata yang mengiringi jasad Dr Sundaran yang dikebumi di Petaling Jaya, Selangor petang tadi.

h
Sepupu mendiang, S. Lingeshwaran yang berkata pemergian mendiang itu cukup mengejut dan satu kehilangan besar buat keluarganya.

“Kami ahli keluarga berasa amat sedih dengan pemergian beliau. Beliau merupakan salah seorang ahli keluarga yang paling berpendidikan tinggi," kata Lingeshwaran.

b
“Beliau pemberi motivasi kepada generasi muda. Bagi saya, beliau seorang yang sangat baik hati dan peramah.

“Walaupun beliau berpendidikan tinggi dan berada pada satu kedudukan yang tinggi, beliau tidak pernah sombong dan suka membantu orang,” katanya ketika ditemui di upacara pengkebumian Sundaran.

Sementara itu, beberapa orang kenamaan turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Sundaran.

Antaranya adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany.

Subramaniam ketika ditemui berkata nahas helikopter tersebut meyebabkan beliau kehilangan beberapa kawan rapat.

“Sundaran merupakan seorang kawan rapat saya. Seorang yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman tinggi. Dan seorang dalam jawatan awam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Semasa beliau menjadi Ketua Setiausaha, kami ada berbincang mengenai beberapa projek.

“Ini satu kehilangan yang besar. Saya berharap keluarganya akan tabah untuk melalui hari yang amat sukar ini dan meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

BACA: Jenazah Noriah Kasnon selamat dikebumikan

BACA: Nahas helikopter: Ini lapor langsung Astro AWANI

Sundaran meninggalkan isteri, Datin Talagavathi R. Karapayah dan dua orang anak.

Jasad mendiang tiba pada pukul 12 tengah malam dengan pesawat Charlie C130H melalui penerbangan dari Pangkalan Udara Kuching, Sarawak yang berlepas kira-kira 9.15 malam.

Jasad mendiang dibakar di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Jalan Tuanku, Petaling Jaya kira-kira jam 3.30 petang tadi, selepas upacara sembahyang di kediamannya.