Bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas, Sabak Bernam, program itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan warga emas dalam memupuk semangat komuniti melalui pelbagai aktiviti yang memberi impak serta legasi terhadap warga emas serta komuniti setempat.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata program itu merupakan usaha penting dalam menyokong kesejahteraan warga emas, sejajar dengan inisiatif Santuni MADANI.
“MyCEB telah memastikan bahawa objektif bagi kelangsungan program berkenaan tercapai dengan memberi peluang kepada warga emas untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang diperlukan, serta membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Tambahnya, program tersebut dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan yang menyasarkan sekitar 40 warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Aktiviti yang dijalankan melibatkan saringan kesihatan dan rawatan perubatan untuk mengenal pasti masalah kesihatan seperti dementia dan lemah fizikal.
Melalui inisiatif itu, warga emas diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dan mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk kelestarian kesihatan mereka.
Selain daripada pemeriksaan kesihatan, sesi penglibatan komuniti diadakan di mana pemimpin dan warga tempatan berpeluang untuk berbincang tentang keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.
“Ini adalah langkah penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara pemimpin dan penduduk, membolehkan mereka bersama-sama mencari penyelesaian kepada isu-isu yang timbul dalam komuniti mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Profesor Datin Dr. Lydia Abdul Latif, Pakar Perubatan Rehablitasi dan Ketua Pegawai Perubatan di Hospital ReGen Rehab, turut memberikan pandangannya mengenai program ini.
“Program ini bukan sahaja menyediakan saringan kesihatan kepada warga emas, tetapi juga menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga kesihatan.
“Dalam kalangan warga emas, risiko masalah kesihatan seperti dementia dan lemah fizikal adalah tinggi, dan pemeriksaan awal adalah kunci untuk menguruskan isu ini dengan berkesan,” katanya.
Selain itu, perbincangan yang diadakan hari ini memberi peluang kepada masyarakat dan pemimpin untuk mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka.