Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) secara rasmi melancarkan Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) 2024 bertemakan "Business Events and Technology with Sustainability" (BEATS) yang dijangka menjadi titik tumpuan buat pakar industri dan inovator terkemuka.

Acara gilang-gemilang yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia, Yasmeen Yasim ini telah menarik seramai lebih 300 delegasi tempatan dan antarabangsa.

Menurut Pengarah Insentif Mesyuarat dan Sokongan MyCEB, Mohammad Isa Abdul Halim, MyCEB komited dalam menjulang misi mengangkat MBEW yang dilihat dapat mencerminkan pembentukan industri acara perniagaan di Malaysia.

"Matlamat utama kami adalah untuk memberi ruang kepada semua mengambil pengetahuan dan pandangan tentang inovasi dan bagaimana acara perniagaan boleh menyatupadukan kemampanan industri dengan lebih baik.

“Inisiatif ini juga boleh berkembang dengan pesat sekiranya mendapat kerjasama daripada pihak yang berkepentingan dalam memacu perubahan positif dan ekonomi global yang lebih mampan pada kadar yang lebih pantas,” ujarnya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia, Yasmeen Yasim ketika menyampaikan ucaptama selepas merasmikan MBEW 2024. - Gambar MyCEB

Dalam majlis yang sama turut berlangsung upacara menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara MyCEB dan Centexs Commercial Services (CCS) yang menjadi detik bermakna buat perkongsian strategik serta komitmen bersama dalam memajukan industri acara perniagaan di Malaysia.

Terdahulu, MBEW 2024 membuka tirainya dengan Asia Convention Alliance Association Forum (ACAAF) dan EVENTXPO anjuran Malaysian Association Of Convention & Exhibition Organisers & Suppliers (MACEOS), eksklusif buat rakan perniagaan jemputan dan ahli berkepentingan antarabangsa termasuk Thailand Convention and Exhibition Bureau (TCEB). 

Pelbagai program menarik turut disajikan sepanjang lima hari tersebut yang terbuka kepada wakil duta dan panel pakar seperti sesi pengenalan dan bengkel bidaan yang juga bakal memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi bersama Jabatan Standard Malaysia (JSM) mewakili perundingan awam terhadap acara perniagaan.