KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini sudah menyiapkan laporan berkaitan kartel padi dan beras.

Begitupun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, beliau masih belum boleh berkongsi maklumat lanjut berhubung laporan tersebut.

Menurutnya, harga ayam tidak dapat dikawal pada 2022 kerana kartel makanan haiwan namun ia sudah dibanteras, dikenakan hukuman di mahkamah melalui usaha MyCC.

Justeru, katanya, laporan itu adalah antara usaha kerajaan mengawal harga padi dan beras dengan antara tumpuan adalah menumpaskan kartel yang wujud.

“MyCC juga sudah siapkan laporan kajian mereka berkaitan kartel padi dan beras tai saya tak boeh dedahkan di sini sehingga laporan rasmi itu didedahkan.

“Tapi sudah pun diselesaikan berkenaan dengan kartel padi dan beras dan kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih, import dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanya tindakan kerajaan dalam menangani isu kartel bahan makanan di Malaysia.