Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pindaan itu akan mengikut prinsip keterlibatan dalam demokrasi yang bakal memberikan hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.
"Semua ahli cabang ada hak untuk mengundi dan memilih pimpinan mereka. Sekiranya di setiap cabang itu mempunyai ahli yang lebih, maka setiap cabang itu akan mendapat perwakilan yang lebih untuk mengundi di kongres," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang bertajuk 'Wanita Dalam Reformasi Politik Malaysia' terbitan Bernama TV, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, langkah berkenaan merupakan hasil perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengenai reformasi pemilihan bagi memastikan kredibiliti pemilihan pemimpin parti.
"Apabila kita berbincang di peringkat MPP, kita mendapat satu ketetapan (solusi) yang mana kita perlu tingkatkan perwakilan.
"Kita telah mengambil kira daripada sejuta anggota dalam parti hanya 30 peratus atau 300,000 ahli yang aktif dan daripada 30 peratus yang aktif itu, kita anggarkan hanya 30,000 ahli yang tegar (hardcore) yang sering turun padang," katanya.
Fuziah berkata, Kongres Khas di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, itu akan dilaksanakan secara hibrid selepas mengambil kira ada dalam kalangan perwakilan datang dari negeri yang terkesan banjir.
"Jumlah keseluruhan perwakilan mengikut rekod pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 2024 adalah seramai 2,428 ahli.
"Namun negeri-negeri yang terlibat dengan banjir, tidak perlulah hadir secara fizikal dan mereka boleh terlibat secara dalam talian, malah kita juga ada sistem yang membolehkan mereka boleh mengundi secara dalam talian," katanya.
Bagi Kongres Nasional PKR pula dijangka akan diadakan selewat-lewatnya Mei tahun hadapan, katanya.
"Kalau mengikut ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) kita terikat dengan 18 bulan selepas kongres terakhir yang kita laksanakan sebelum ini, iaitu pada 25 hingga 26 Nov 2023. Paling lewat yang kita boleh laksanakan Kongres Nasional tersebut adalah pada Mei 2025 supaya tidak melanggar perlembagaan parti," katanya.
Sementara itu, ketika menjadi tetamu dalam program berkenaan, beliau berkata, wanita perlu berani menggalas jawatan penting dalam parti serta perlu mempunyai nilai berkualiti.
"Di Akademi KeAdilan, kita mendidik ramai anak muda khususnya wanita. Saya lihat ramai yang ada potensi (menjadi pemimpin) tetapi mereka tidak berani. Bukan parti tidak beri (peluang), tetapi dalam diri mereka itu masih lagi ada rasa takut," katanya. - BERNAMA