KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyifatkan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Allahyarham Dr Syed Husin Ali wajar dikenang sebagai pejuang negara yang langsung tidak menghiraukan kuasa dan wang ringgit.


Ringkasan AI
  • Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengenang mantan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, sebagai pejuang negara yang tidak mementingkan kuasa dan wang.
  • Jenazah Dr Syed Husin telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara. Ramai tokoh hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
  • Rafizi berkongsi kenangan dan pelajaran dari Dr Syed Husin, menggambarkannya sebagai individu yang berdisiplin, terutama dalam ketepatan masa. Dr Syed Husin juga tidak pernah mengharapkan apa-apa dari perjuangan dan hanya menerima jawatan setelah diarahkan oleh parti.


Dalam catatan di Facebooknya, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR ketika ini berkata, beliau dimaklumkan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang Dr Syed Hussin menghidap kanser sejak tiga bulan lepas, tetapi meminta supaya ia dirahsiakan.

Malah katanya lagi, berita itu turut dirahsiakan daripada adiknya sendiri, Syed Hamid Ali, mantan Ketua Cabang PKR Batu Pahat.

“Begitulah peribadi Allahyarham semasa hidup. Beliau tidak mahu sebarang tumpuan kerana hidupnya diabadikan kepada perjuangan,” katanya.


Terdahulu media melaporkan jenazah Dr Syed Husin selamat dikebumikan jam 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara di sini.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir selain Rafizi ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar.

Mengimbau masa lalu, Rafizi berkata, Dr Syed Husin antara pimpinan kanan yang bersama-sama dengannya berdepan dengan karenah sekumpulan lain yang ‘memporakperandakan’ parti semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam penjara antara 2015 hingga 2018.

“Walaupun kami yang membantu Kak Wan (Wan Azizah, presiden ketika itu) dilihat kecil, tidak ada kuasa dan wang, Dr Syed Hussin adalah benteng terakhir yang mempertahankan Presiden parti ketika diasak oleh kumpulan dalaman parti yang lain.

“Saya banyak kenangan dan belajar dari beliau,” katanya lagi.

Rafizi berkata, antara nilai dan perwatakan Dr Syed Hussin ialah beliau seorang yang sangat berdisiplin, terutamanya berkenaan ketepatan masa.

“Kalau Datuk Seri Anwar sekali pun yang lambat hadir ke mesyuarat, dia akan ditegur di dalam mesyuarat. Semua pimpinan PKR pernah ditegurnya kerana beliau tidak pernah lambat.

“Beliau juga tidak pernah mengharapkan apa-apa dari perjuangan. Setelah PKR mula mentadbir Selangor dalam tahun 2008, parti terpaksa memujuknya berkali-kali untuk menjadi ahli Dewan Negara. Setelah diarahkan parti, barulah akhirnya beliau bersetuju,” katanya lagi.

Rafizi yang sempat hadir ke Masjid Kg Tunku, Petaling Jaya hari ini sebelum Allahyarham dikebumikan, berkata, amat bersyukur sempat mengenali dan belajar daripada tokoh berkenaan.