KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai kaedah pengiraan sepanjang rantaian bekalan yang membolehkan mengesan cubaan daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga barang susulan pengumuman beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2025.

Timbalan menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata sehubungan itu, KPDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga termasuk produk bergula.

“Apabila diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkenaan dengan ‘sugary tax’, cukai ke atas minuman dan makanan yang tinggi kandungan gula, contoh air minuman berkarbonat, jadi belum apa-apa lagi sudah mula berkisar tentang nanti (harga) makanan mahal dan sebagainya.

“Jadi saya buat kenyataan bahawa harga gula tak naik. Jadi maksudnya kalau buat kuih guna gula yang ada sekarang, tak naik lah (harga kuih). Jadi kita perlu beri peringatan tegas bahawa jangan ambil kesempatan sebab KPDN kita tahu di sepanjang rantaian bekalan itu macam mana kosnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lepas berkata dalam usaha menyokong gerakan ‘War on Sugar’, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Jan 2025 sebanyak 40 sen seliter.

Dalam pada itu, Fuziah berkata pemantauan harga dilaksanakan KPDN setiap hari dengan melibatkan 990 pegawai pemeriksa harga.

“Setiap hari ada 990 pegawai pemeriksa harga akan pergi ke pasar basah, pasar mini dan sebagainya. Mereka ada 480 barangan untuk diperiksa harga setiap hari. Setiap hari kami dapat laporan berapa (harga barangan) naik, berapa turun.

“Jadi kita tahu siapa yang mencatut, siapa yang tidak. Kalau ada sesuatu yang tidak kena, kita akan buat siasatan dan jika didapati bersalah akan dikenakan notis,” katanya.

-- BERNAMA