Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa dirinya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Bukit Aman pada 15 November ini untuk diambil keterangan berhubung ucapannya yang menyentuh tentang isu 1MDB di Parlimen baru-baru ini.

"Saya dipanggil oleh Ketua Polis Negara untuk ke Bukit Aman pada 15 hari bulan ini (November) untuk memberi keterangan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat ahli-ahli Parlimen pembangkang bersama Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Bekas Timbalan Perdana Menteri mendakwa apa dibangkitkan semasa membahaskan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat itu bukanlah isu sensitif sehingga dikaitkan dengan tuduhan Akta Hasutan.

"Dalam ucapan saya yang terkini tidaklah merupakan ucapan yang dikatakan menghasut kerana mengikut nasihat peguam, mereka memberitahu saya bahawa menghasut itu adalah apabila menyentuh tentang perkara pokok dalam Akta Hasutan seperti soal kedudukan raja-raja, hak istimewa Melayu, soal bahasa atau membangkitkan perasaan perkauman yang boleh menyebabkan porak-peranda dan sebagainya," katanya.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya berkaitan 1MDB di Parlimen, baru-baru ini.

Selain Shafie dan Muhyiddin, turut dipanggil sebelum ini ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah.