"Dia (Muhammad Adib) angkat ibu jari kepada kami," demikian penjelasan Datin Seri Rosmah Mansor selepas mengadakan lawatan ke atas Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) pada Rabu.

Rosmah yang hadir bersama suaminya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberitahu, Muhammad Adib juga tahu kedua-dua mereka datang melawat.

“Dia (Muhammad Adib) tahu kami datang melawat. Saya difahamkan dia akan kahwin 21 Dis nanti jadi saya doakan dia sembuh dan sempat kahwin,” katanya selepas melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi.

Muhammad Adib bersama doktor, petugas hospital dan ibu bapanya di Institut Jantung Negara hari ini. - Foto IJN

Rosmah berkata, sebagai ibu dia faham perasaan tunang dan keluarga Muhammad Adib.

Rosmah dan Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat anggota bomba itu.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang parah ketika insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini.



Sementara itu, Najib berkata beliau gembira kerana Muhammad Adib sedar kehadiran beliau dan isteri yang menziarahinya.

Katanya, hari ini merupakan hari yang paling baik dari segi proses pemulihan untuk anggota bomba itu.

“Ada perubahan yang sangat menggalakkan. Dia (Muhammad Adib) sedar dan tahu saya dan isteri datang.

“Dia angkat tangan tunjuk 'thumbs up' dan saya doakan dia terus bertambah lebih baik lagi,” katanya sambil menambah, Muhammad Adib turut menggenggam tangannya.