Merujuk kepada imej tular mengenai dakwaan mpox kini merebak di Singapura, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan bahawa perkara itu tidak benar.
"Sekiranya ada isu tular boleh rujuk dengan kementerian berkaitan termasuk isu mpox, boleh rujuk dengan KKM jika kita terima maklumat daripada sumber yang tidak boleh disahkan, atau kalau kita terima maklumat, (jadi) kita perlu lakukan sedikit pengesahan," katanya dalam sidang media di sini hari ini selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
KKM menerusi laman rasmi Facebook semalam tampil menjelaskan imej yang ditularkan bukan imej kes mpox sebaliknya merupakan imej mangsa kecederaan peluru tabur seperti yang disiarkan dalam artikel berita daripada satu laman sesawang luar negara pada 17 Sept 2022.
Pada 15 Ogos lepas, KKM telah mengesahkan tiada kes baharu mpox dilaporkan dalam negara setakat ini, meskipun berlaku peningkatan kes penyakit tersebut di rantau Afrika baru-baru ini.
KKM memaklumkan di Malaysia, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir pada November 2023.
-- BERNAMA