MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan tumpuan di empat pintu masuk utama negara dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan mengekang penularan mpox atau cacar monyet.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, empat pintu masuk utama itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Beliau berkata, pihaknya juga memantau ‘laluan tikus’ yang terdapat di sempadan negara terutama sekitar Sungai Golok menerusi kawalan keselamatan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kita bercakap tentang 141 pintu masuk... tiga perempat daripada kemasukan pelancong menerusi KLIA, KLIA2, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, meninggalkan satu perempat sahaja menggunakan lain-lain pintu, jadi keutamaan kita ialah empat pintu masuk utama itu.

"Laluan-laluan lain (yang tidak sah) itu kita kenal pasti sebagai laluan tikus (iaitu) laluan yang kita tahu jumlah dan lokasi. Itu di bawah pengawasan, kalau polis di bawah PGA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena ulang tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, walaupun penularan mpox dalam negara disifatkan terkawal ketika ini namun kerajaan tetap mengambil pendekatan berwaspada.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak jangkitan virus itu di Republik Demokratik Congo merebak ke negara jiran.

- Bernama