KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menumpu untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serantau.

Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata segmen MICE yang sedang berkembang pesat bukan sahaja mencipta pekerjaan dan membuka peluang, tetapi juga akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk perniagaan dan inovasi.

"Kejayaan hab perdagangan dan pameran bergantung kepada tersedianya penginapan yang berkualiti tinggi, ruang perniagaan, restoran, pilihan hiburan dan kemudahan riadah.

"Resorts World Genting cemerlang dalam semua bidang ini, menjadikannya lokasi yang ideal untuk mempromosikan aktiviti MICE dan menyokong matlamat pelancongan kita," katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran Ekspo Makanan dan Minuman Genting SustainBiz yang julung kalinya diadakan, di Genting Highlands, semalam.

Khairul berkata ekspo itu bukan hanya sekadar pameran semata-mata kerana ia mengukuhkan imej Malaysia sebagai hab MICE dan perdagangan antarabangsa.

Ekspo itu berlangsung dari 10-12 September dan dijangka disertai 3,000 pengunjung serta 60 pempamer jenama tempatan dan multinasional.

-- BERNAMA