Monsun Timur Laut: MBSP, MBPP siap sedia 24 jam - Exco
MBPP dan MBSP diarahkan untuk bersiap sedia 24 jam supaya respon cepat dapat diberikan sekiranya berlaku bencana terutama banjir susulan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Bernama
Wed Oct 16 2024
H'ng Mooi Lye berkata persiapan telah dibuat sejak minggu lepas dengan semua aset dan jentera siap sedia untuk digerakkan ke kawasan yang memerlukan bantuan selain membuka talian utama. - Gambar fail/BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diarahkan untuk bersiap sedia 24 jam supaya respon cepat dapat diberikan sekiranya berlaku bencana terutama banjir susulan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata persiapan telah dibuat sejak minggu lepas dengan semua aset dan jentera siap sedia untuk digerakkan ke kawasan yang memerlukan bantuan selain membuka talian utama.
"Hari ini kita difahamkan paras air di Sungai Muda tinggi dan di daerah SPU (Seberang Perai Utara) jika hujan lebat berkemungkinan boleh berlaku banjir.
"Sebab itu saya telah maklumkan kepada Datuk Bandar MBPP dan MBSP supaya kita tepat masa, bersedia 24 jam kalau perlu digerakkan, di PBT memang kita ada pasukan krisis yang sentiasa bersiap sedia," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran sistem i-SWeeP di MBSP Bandar Perda di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Malaysia yang masih berada dalam fasa peralihan monsun sejak 24 September lepas dijangka mengalami fenomena itu secara berterusan hingga awal bulan depan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Datuk Mohd Nazri Yasmin juga berkata Pulau Pinang dijangka mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Okt ini berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini