KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarahkan untuk menghantar lebihan khemah di negeri lain untuk keperluan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Lebihan khemah-khemah yang ada di dalam stor negeri lain perlu dihantar ke negeri yang dilanda banjir untuk keperluan PPS.

"Mangsa banjir di Kelantan ketika ini semakin meningkat dengan mendadak iaitu mencecah 69,000 dan kerana itu lebihan khemah diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Tapang, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat.

"Situasi banjir di Kelantan agak lebih teruk berbanding tahun 2014 kerana pada kali ini lebih 60,000 mangsa banjir telah dipindahkan setakat hari ini melibatkan 20,500 keluarga serta 10 daerah terjejas.

"PPS yang telah dibuka di Kelantan adalah lebih 200 dan kita telah mengambil beberapa tindakan segera termasuklah mengadakan perbincangan dengan Datuk MB (Mohd Nassuruddin) mengenai pengerahan (deployment) tenaga yang membantu," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau telah menggerakkan lebih 7,000 keanggotaan untuk membantu mangsa banjir di negeri itu sejak lapan hari lepas selain aset-aset yang dikendalikan pasukan keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam.

Beliau berkata Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga akan digunakan sebagai PPS di Kelantan jika tempat perlindungan sedia ada sudah penuh.

"Ketika ini, PPS sedia ada di Kelantan sebanyak 550, maka saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana memutuskan bagi kawasan yang PPSnya telah penuh, kebenaran khas diberikan untuk membuka PPS baharu di MRSM," katanya.

Diminta mengulas mengenai calon SPM yang terjejas banjir dan bakal menduduki peperiksaan itu awal Disember ini, Ahmad Zahid berkata trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digunakan bagi mengambil calon di kawasan pedalaman untuk ke pusat peperiksaan.

"Saya telah mengkoordinasi dengan ATM bahawa trak tentera akan digunakan untuk mengambil calon SPM di pedalaman.

"Oleh itu, saya memohon guru dan pengetua supaya dapat koordinasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid melawat Menara Tinjau Sungai Kelantan, Tambatan D' Raja Kota Bharu, di sini dan diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria berhubung situasi semasa Sungai Kelantan.

-- BERNAMA