“SAYA mimpi, mommy berdiri di hujung katil, mommy pakai telekung sembahyang warna putih dan senyum pada saya. Selepas itu, semuanya berubah,” kata Iqbal Hakim Jasman, anak sulung kepada Pengasas Dnars Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia akibat kemalangan di selatan Thailand baru-baru ini.

Iqbal, 20, yang sedih dengan kehilangan ibunya bagaikan disuntik semangat baru selepas ‘pertemuan’ dengan Allahyarham Faziani di dalam mimpi walaupun baru sahaja meninggal dunia dua hari.

“Masa saya nampak mommy, dia hanya senyum dan wajahnya bagaikan memberi harapan kepada saya untuk saya kembali seperti biasa.

"Memang saya akui, saya sangat sedih dan menangis tanpa henti sejak tahu arwah tinggalkan kami. Selepas bangun tidur, saya berfikir sejenak tanggungjawab saya kini sangat besar dan itulah yang mommy mahu saya pikul.

“Saya berbincang dengan keluarga dan meneruskan semuanya yang mommy lakukan. Alhamdulillah, selepas seminggu tahlil, saya pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan semua perancangan yang mommy susun semasa hayatnya,” katanya.

BACA: Pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia dalam kemalangan di Thailand

BACA: 'Mama dalam perjalanan untuk sampaikan sumbangan zakat' - Anak Faziani Rohban

BACA: "Kenapa Mami masuk syurga awal?"

BACA: "Abang akan selalu ingatkan adik tentang Mami kita" - Anak sulung pengasas Dnars kosmetik

BACA: Pemergian Faziani Rohban kehilangan besar kepada industri produk halal

BACA: Allahyarham Faziani Rohban seorang wanita kuat, cekal - Aliff Syukri


Terdahulu, Iqbal meluangkan masa bersama keluarga asnaf yang diraikan melalui program Kita Kongsi di salah sebuah pasar raya di sini. Dnars antara syarikat yang menyumbangkan zakat untuk program tersebut.

Iqbal berkata, agak kekok apabila kali ini tiada lagi ketukan pintu di awal pagi meminta mereka adik-beradik bangun dan bersiap untuk menyambut Aidilfitri malah kenangan berhari raya bersama ibunya sebelum ini menjadi pengalaman paling indah kepadanya dan keluarga walaupun masih ada adik-beradik yang kecil tidak memahami erti kehilangan.

“Agak janggal juga apabila tahun ini bersalam dengan papa saja, biasanya kiri dan kanan, ada mommy sekali. Saya terpaksa menguatkan mental dan fizikal untuk adik-adik dan keluarga.

"Memang sedih, memang rindu tapi kena reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, Iqbal berkata, beliau akan meneruskan semua impian arwah Faziani dan perancangan yang dilakukan terutamanya untuk evolusi baru Dnars Gold.

“Saya akan lakukan sebaik mungkin apa yang arwah rancang terutamanya melibatkan evolusi baru Dnars Gold ini.

"Walaupun saya terpaksa mengorbankan usia muda saya, namun saya akan galas tanggungjawab ini sebaik mungkin demi adik-adik, masa depan dan impian arwah,” katanya.