BERBICARA tentang nilai-nilai murni menjadikan ia sebagai suatu perkara yang dianggap remeh, masakan perlu membincangkan perkara yang semua orang telah maklum?

Namun perkara yang dianggap remeh kerana telah sedia diketahui oleh semua orang ini kerap kali menjadi persoalan besar dalam menghasilkan jati diri bangsa yang hebat.

Mizukara adalah terma berbahasa Jepun yang merujuk kepada “common sense”, iaitu suatu perkara positif yang menjadi kelaziman.

Mizukara juga merujuk sikap bangkit untuk melaksanakan sesuatu perkara tanpa perlu disuruh dan ia bergantung sepenuhnya atas dasar kesedaran sesebuah masyarakat tersebut.

Mengambil ibrah kemajuan dan pembangunan masyarakat Jepun sehingga mampu menjadi salah sebuah negara maju di dunia, nilai-nilai murni yang di dalam konteks ini dikhususkan kepada nilai mizukara yang menjadi asas kepada keberhasilan sesuatu bangsa mencapai pembangunan dan kemajuan semaksimum mungkin.

Sejarah menyaksikan Nagasaki dan Hiroshima pernah lumat diterajang senjata yang mematikan secara fatal milik tentera Berikat yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang bernama bom atom.

Kedua-dua bandaraya yang mempunyai populasi yang tinggi tersebut binasa sekelip mata dengan meninggalkan kesan selain memakan angka korban yang bukan kepalang.

Oleh kerana pengeboman sadis tersebut telah memaksa Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia kedua serta terpaksa mengikat ‘kontrak’ dengan Amerika Syarikat untuk bersetuju tidak membangunkan angkatan tenteranya menerusi Doktrin Yoshida.

Namun, ajaibnya tidak sampai 30 tahun, Jepun telah berjaya bangkit kembali menjadi salah sebuah kuasa ekonomi antarabangsa dengan pelbagai syarikat multinasional mereka yang “menjajah” negara-negara lain di dalam sistem antarabangsa.

Keberadaan syarikat-syarikat multinasionalnya di dalam pasaran antarabangsa telah menjadikan Jepun sebagai sebagai rujukan utama dalam sektor teknologi dan pembuatan terutamanya pada dekad 70an sehingga 90an sebelum struktur antarabangsa mempengaruhi hegemoni Jepun di dalam bidang tersebut.

Selain daripada bidang ekonomi yang cukup kuat, Jepun juga mempunyai pengaruh di dalam bidang politik dan strategi di negara-negara dunia ketiga sehingga membawa peranan yang cukup signifikan terhadap dasar luar sesebuah negara lain.

Hal ini didorong dengan kepentingan dan kebergantungan ekonomi negara-negara lain terhadap pelaburan Jepun dalam membantu memacu ekonomi negara terbabit.

Sekalipun era kolonialisme Jepun telah lama berakhir, namun secara tidak langsung negara-negara dunia ketiga seakan ketagih dengan sentuhan Jepun melalui syarikat multinasional mereka selain penerapan budaya kerja Jepun yang menjadi contoh negara-negara terbabit untuk berjaya.

Hakikatnya tiada yang terlalu istimewa dengan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Jepun melalui nilai-nilai murni mereka yang menimbulkan kekaguman masyarakat antarabangsa.

Sesungguhnya nilai-nilai murni yang diamalkan oleh mereka sebenarnya tidak berbeza dengan apa yang sekian lama menjadi pegangan masyarakat antarabangsa lain khususnya Malaysia.

Namun, mengapa perkara yang menjadi “common sense” ini seakan sinonim dengan mereka tetapi tidak dengan kita?

Suatu pembohongan yang sangat besar sekiranya dikatakan bahawa masyarakat Malaysia yang ditunjangi oleh bangsa Melayu ini sebuah bangsa yang tidak beradab dan tidak mengamalkan nilai-nilai murni.

Pembohongan yang dimulai oleh Stamford Raffles ini kemudiannya menjadi suatu sumpahan yang diwarisi zaman berzaman oleh para oriantalis Barat dalam memperkatakan bangsa Melayu sebagai sebuah bangsa yang malas dan penuh dengan sifat mazmumah.

Tuduhan sebegini didasari oleh rasa ketidakpuasan hati mereka akibat sikap bangsa Melayu yang tidak mahu berkerjasama dengan para penjajah menjarah hasil mahsul negara mereka sendiri.

Namun apa yang lebih menyedihkan, tuduhan dan stereotaip ini menjadi tangkal azimat kepada segelintir bangsa Melayu itu sendiri sehingga membunuh estim diri bangsa Melayu.

Bangsa Melayu adalah sebuah bangsa yang besar pada suatu ketika dahulu, menjadi raja di dalam bidang pelayaran dan perkapalan sehingga mampu mewujudkan keupayaan membentuk empayar-empayar yang tidak berorientasikan penjajahan ke atas bangsa lain.

Melayu itu membina peradaban dan ketamadunan sendiri tanpa perlu menjarah dan menjajah bangsa-bangsa di luar kepulauan Nusantara.

Sikap dan sifat berlemah lembut, bersopan, proaktif, berdiplomasi dan pelbagai nilai-nilai hebat lain telah digilap dengan kehadiran agama Islam sebagai agama anutan majoriti masyarakat di kepulauan Melayu ini.

Mana mungkin sebuah empayar lemah miskin yang diasaskan oleh bangsa lemau seperti Melayu menjadi kegilaan dan impian bangsa-bangsa Barat untuk dijajah?

Kehebatan empayar-empayar di rantau kepulauan Melayu seperti Langkasuka, Srivijaya, Majapahit, Melaka dan banyak lagi ini didasari oleh pembudayaan nilai-nilai murni dan jati diri bangsa yang cukup hebat.

Sesebuah kemajuan tidak akan dapat dicapai sekiranya nilai-nilai murni tidak dibudayakan dengan semaksimum mungkin.

Tidak ada satu bangsa yang wujud di dunia ini yang boleh dilabelkan dengan sesuatu sifat dan sikap.

Tidak adil mengatakan bangsa Cina itu sebuah bangsa yang rajin atau penipu, tidak adil melabelkan bangsa India itu peramah atau pemabuk, tidak seharusnya menyatakan bangsa Arab itu bangsa yang sangat menghormati tetamu dan suka berperang, kerana setiap bangsa itu pasti ada sifat dan sikap positif dan juga negatif.

Keupayaan Jepun dalam membangunkan teknologi dan kemajuan mereka juga adalah hasil dari pembudayaan nilai-nilai murni.

Mereka mempunyai suatu sifat yang digelar mizukara, bangkit tanpa disuruh kerana merasakan betapa perlu untuk memajukan diri sendiri tanpa bertangguh.

Hal ini dapat dilihat setelah tertewasnya mereka dalam Perang Dunia kedua, mereka bingkas memajukan negara mereka di dalam bidang selain daripada militer sekalipun masyarakat antarabangsa melihat Jepun pada ketika itu sebagai “budak” Amerika Syarikat melalui Perjanjian Jepun-Amerika Syarikat 1951.

Namun ini yang dikatakan sebagai kebijaksanaan berdiplomasi, sekalipun Jepun dilarang membangunkan angkatan tenteranya, namun mereka bebas memajukan segenap bidang yang lain.

Hasilnya, sidang pembaca sendiri telah saksikan pada hari ini tentang pencapaian “lumayan” Jepun.

Pembudayaan nilai-nilai murni telah berakar umbi dalam kehidupan harian mereka, dan begitu juga dengan masyarakat kita, namun tidak tahu dimana silapnya, kita seakan kurang menghayati nilai-nilai murni tersebut.

Mungkinkah jati diri kita yang kurang sehingga menyebabkan kebejatan akal dan akhlak semakin membimbangkan?

Adakah mungkin kerana kesan penjajahan selama 446 tahun menjadikan keyakinan diri kita telah dibunuh secara kejam dan terancang oleh kuasa kolonial?

Bukan sahaja Jepun, tetapi pergi sahaja ke mana-mana negara maju di dunia ini, kebanyakan akhlak Islami telah diamalkan oleh masyarakat mereka dengan sepenuh jiwa, sekalipun mereka tidak beragama Islam.

Jika benar kemunduran dan kebobrokan minda serta sikap yang kita alami ini adalah berpunca daripada pelbagai sabotaj sama ada kesan kolonial, konspirasi golongan kapitalis ataupun golongan kitol yang cuba merentap keyakinan diri kita, maka sebagai seorang Islam perlu kita kembali semula kepada firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rad ayat ketujuh yang menyatakan bahawasanya Allah tidak akan sesekali mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga sesuatu kaum itu sendiri yang megubahnya.

Peringatan yang diturunkan oleh Allah SWT ini amat jelas betapa usaha dan disiplin adalah kunci utama kepada pembangunan dan kemajuan.

Seperti mana yang dinyatakan oleh Tan Malaka, belajarlah dari Barat, tetapi jadilah murid yang cerdas dari Timur.

Walaupun kita mahu semaju negara-negara Barat, Jepun atau Korea di dalam bidang teknologi, ekonomi dan sebagainya, namun sebagai masyarakat Islam yang mempunyai adat ketimuran, kita perlu saring sebaiknya segala apa yang dipelajari.

Hamka juga ada menyatakan tentang “international minded” yang sangat perlu sebagai cara dan kaedah untuk bergaul di peringkat antarabangsa.

Tetapi bagi beliau, “international minded” ini adalah harga-menghargai, kenal-mengenali dan bukan segala yang ala Amerika atau Eropah itu mesti ditelan begitu sahaja sehingga lupa peribadi bangsa sendiri, kerana bagi beliau, “international minded” yang hanya takluk kepada orang punya dan tidak meyakini kepunyaan sendiri adalah rendah harga diri.

Maka rakyat Malaysia, ayuh bangkit tanpa disuruh!


* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.