PERSAINGAN teknologi antara Amerika Syarikat dan China bukti jelas yang menunjukkan bahawa landskap antarabangsa masa kini bersifat multi unipolar.

Mengapa? Kerana jika tidak, masakan Amerika Syarikat begitu takut akan bayang-bayang sendiri dengan kehebatan teknologi China melalui syarikatnya Huawei yang jelas mencabar hegemoni Amerika Syarikat melalui syarikat ikoniknya dalam dunia teknologi komunikasi, Apple.

Sekiranya terdapat pendapat yang menyatakan bahawa dunia masih lagi bersifat unipolar yakni hanya Amerika Syarikat sahaja satu-satunya kuasa dunia yang tidak tercabar, maka sudah tentu Amerika Syarikat tidak mengendahkan Huawei kerana ia tidak memberi apa-apa kesan kepada keunggulan syarikat milik negara Uncle Sam tersebut.

Namun situasi kini amat berbeza kerana dilema keselamatan Amerika Syarikat itu sendiri.

Situasi ini membawa kepada dua pengertian akan tindakan Amerika Syarikat yang dilihat begitu terdesak untuk memboikot Huawei, pertama persaingan teknologi telekomunikasi dan kedua melibatkan keselamatan negara yang didakwa oleh Amerika Syarikat bahawasanya Huawei adalah senjata China untuk mengintip Amerika Syarikat.

Teknologi yang diperkenalkan Huawei dilihat sebagai ancaman kepada Amerika Syarikat - Foto Fail

Mungkin bagi Amerika Syarikat hujah ini ada asasnya kerana begitu ramai rakyat Amerika Syarikat sendiri yang menggunakan peranti pintar keluaran Huawei dan ini memberikan akses kepada China untuk mengintip dan mengetahui rahsia kekuatan Amerika Syarikat.

Kebimbangan ini adalah rentetan pembangunan dan kemajuan China yang meledak dengan hebat khususnya di dalam bidang teknologi, ketenteran dan politik antarabangsa.

Maka, sebagai sebuah negara yang begitu banyak “berdosa” kepada negara dunia ketiga.

Amerika Syarikat dihantui oleh bayang-bayang dosa silamnya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap di Persidangan Nikkei berpandangan bahawa tindakan Amerika Syarikat ini adalah tidak wajar, dan mereka seharusnya terbuka dan meraikan persaingan tersebut dari sudut yang lebih positif.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan sekiranya China mempunyai teknologi yang begitu hebat, Amerika Syarikat seharusnya menenetang China dengan membangunkan teknologi yang lebih hebat, yang mana persaingan tersebut akan membawa kesan positif kepada masyarakat dunia amnya berikutan kemajuan teknologi yang sentiasa bergerak aktif dan dinamik.

Beliau menambah lagi, Amerika Syarikat mesti menerima hakikat bahawa kecanggihan teknologi juga boleh ditemui di negara Timur.

Jika Amerika Syarikat selama ini berada di hadapan di dalam bidang teknologi, namun tidak lagi berada di hadapan kerana dipintas oleh negara lain, mereka tidak boleh menyekat atau menghantar kapal perang ke sesebuah negara tersebut, bagi Tun Dr. Mahathir itu bukan persaingan namun adalah ancaman.

Tun Mahathir menganggap kehebatan China dalam teknologi bukanlah ancaman - Foto Fail

Selayang pandang, perang perdagangan dan teknologi ini telah bermula semenjak dahulu lagi khususnya ketika era Perang Dingin antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet sebelum Kesatuan Soviet berpecah pada tahun 1991.

Persaingan nuklear, persaingan tekonologi yang meliputi pelbagai aspek, persaingan perdagangan dan persaingan pengaruh politik telah berlangsung dengan begitu sengit.

Masing-masing mahu menunjukkan bahawa mereka adalah jagoan dunia.

Namun persaingan antara kedua-dua kuasa besar tersebut juga telah mengheret beberapa negara di dunia untuk turut terjebak di dalam Perang Dingin mereka dengan menjadi negara proksi Amerika Syarikat atau Kesatuan Soviet.

Maka secara tidak langsung ia telah membibitkan rasa tidak harmoni antara negara-negara dunia ketiga yang acapkali dijadikan sebagai bidak-bidak catur kedua-dua kuasa besar tersebut pada ketika itu.

Persoalan kepada kita di Malaysia, adakah kita akan terheret sama dengan persaingan antara kedua-dua kuasa besar ini atau tidak, kerana Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang cukup erat dengan Amerika Syarikat dan juga China.

Sekiranya Malaysia begitu aktif membela China, maka Amerika Syarikat dan sekutunya akan melabel Malaysia sebagai negara pro China, dan begitu juga sekiranya Malaysia kuat mempertahankan tindakan tidak “gentleman” Amerika Syarikat, Malaysia akan dilabel oleh China sebagai negara pro Amerika Syarikat.

Sudah pasti Malaysia tidak mahu dilabel pro kepada mana-mana negara kerana sudah terbukti sekian lama Malaysia sentiasa bercakap dan bertindak berdasarkan kebenaran dan kepentingan nasional.

Malaysia harus bertindak dengan bijak selain tidak berkompromi dengan isu-isu yang mampu membangkitkan atmosfera yang tidak harmoni dalam landskap ekonomi dan politik antarabangsa.

Kerana sekiranya tersilap, maka negara akan mengalami kerugian berikutan aktiviti perdagangan dan pelaburan oleh syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan China di Malaysia bernilai berbilion ringgit.

Walau apa pun yang terjadi, kepentingan nasional harus diutamakan kerana di situ letak duduknya kelangsungan kedaulatan negara di dalam sistem antarabangsa yang bersifat anarki ini.



*Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Etnik,
Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.