ALOR SETAR: Dua warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 160 liter petrol di Durian Burung, Padang Terap baru-baru ini.

Phatcharee Hama, 38, dan Abdulloh Saleesing, 21, kedua-duanya berasal dari Songkhla, Thailand yang didakwa secara berasingan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Thai di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Phatcharee didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu 60 liter petrol yang dijumpai dalam tangki tambahan di bahagian tempat duduk belakang sebuah kenderaan bernombor pendaftaran tempatan, dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.

Abdulloh juga didakwa melakukan kesalahan sama setelah didapati memiliki petrol berjumlah 100 liter dalam sebuah kenderaan lain yang turut mempunyai tangki ubah suai, dan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Sekatan Jalan Raya Durian Burung pada 11.45 pagi 27 Julai lepas.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan serta mengarahkan kedua-dua mereka melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Hilmi Abu Hassan dan dan Mohd Sayuti Ismayatim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA