Laporan media asing yang mendakwa operasi pencarian pesawat MH370 akan diteruskan tahun depan adalah tidak benar, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum memuktamadkan rundingan dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, dan akan terlebih dahulu meneliti pandangan daripada pakar.

"Ini kerana kita memerlukan data yang tepat untuk mengesahkan sama ada pencarian pesawat MH370 diteruskan atau sebaliknya.

"..dan jika kita yakin dengan sumber dipercayai itu, maka kita akan meneruskan misi pencarian ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan Persatuan Pendidikan 'Flagbearer', di sini hari ini.

Persatuan Pendidikan 'Flagbearer' menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.6 juta kepada 40 anak-anak 23 kru pesawat MH370 dan MH17 yang terkorban, bagi membantu mereka.

Penubuhan dana itu adalah inisiatif daripada empat syarikat swasta - Eu Yan Sang, Genting Malaysia Berhad, Hap Seng Plantations dan Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Australia, China dan Malaysia, yang bersama-sama menyelaras dan membiayai operasi pencarian pada Januari lepas, menggantung pencarian MH370 apabila serpihan pesawat berkenaan tidak dijumpai di kawasan pencarian 120,000 kaki persegi di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH17, sebuah pesawat Boeing 777-200, pula ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, 2015, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dengan membawa 298 penumpang.

-- BERNAMA