MERSING: Daerah Mersing yang terkenal sebagai pintu masuk ke rangkaian pulau indah dengan jolokan 'Maldives of Malaysia', dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaksanaan program pembangunan modal insan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Yayasan Petronas dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan menyediakan latihan kepada penduduk daerah ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka.

"Mersing ini cukup banyak potensinya antaranya daerah yang mempunyai (banyak rangkaian) kepulauan yang sangat cantik di negara kita.

"Selain itu, melihat kepada program pembangunan modal insan dengan kerjasama ECERDC, Petronas, UniSZA dan SIRIM dengan kita menyediakan latihan dan bimbingan kepada warga Mersing, bagi meningkatkan lagi (taraf) ekonomi mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECERDC Bersama SIRIM dan Universiti Sultan Zainal Abidin serta Pelancaran Program Yayasan Petronas empower ECER Akademik di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat.

Sempena pelancaran program berkenaan, sebanyak tujuh sekolah menengah di daerah ini terpilih menerima sijil kolaborasi termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar, SMK Ungku Husin, SMK Felda Tenggaroh, SMK Tan Sri Abdul Kadir, SMK Mersing, SMK Anjung Batu dan SMK Pai Chee.

Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

-- BERNAMA