KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia menggerakkan pasukan bagi menyalurkan bantuan segera terhadap krisis kemanusiaan di Lubnan akibat serangan udara Israel.

Dalam kenyataan hari ini, MERCY Malaysia memaklumkan pasukan berkenaan dibantu pasukan sedia ada di Syria dengan kerjasama organisasi tempatan bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilakukan berdasarkan keperluan dengan cara yang selamat.

"Pasukan susulan sedang dipersiapkan dan akan digerakkan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan kritikal seperti bekalan makanan dan air bersih, perkhidmatan kesihatan dan perubatan kecemasan, perlindungan kepada kanak-kanak serta persiapan untuk perlindungan bagi musim sejuk yang semakin hampir," katanya.

MERCY Malaysia turut memohon bantuan semua pihak untuk turut memberi perhatian dan sokongan kepada usaha kemanusiaan di Lubnan serta tidak melupakan krisis kemanusiaan di Gaza yang hampir memasuki tempoh satu tahun.

Sejak 23 Sept lepas, tentera Israel telah melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan.

Sejak 8 Okt 2023, Hizbullah dan tentera Israel saling berbalas serangan di sempadan Lubnan-Israel di tengah-tengah kebimbangan perselisihan lebih meluas ketika konflik antara Hamas dan Israel berterusan di Semenanjung Gaza.

Serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria.

-- BERNAMA