Memorandum bantahan rakyat Malaysia yang menggesa Amerika Syraikat (AS) mengambil tindakan ke atas Israel berhubung pencabulan ke atas Masjid Al-Aqsa di BaitulMaqdis telah disampaikan secara terus kepada wakil Kedutaan AS di Jalan Tun Razak hari ini.

Penyerahan memorandum itu adalah sebagai kemuncak perhimpunan Kempen Selamatkan Masjid Al-Aqsa yang dimulakan dengan perarakan seramai kira-kira 1,000 orang bermula dari pekarangan bangunan Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat.

Sekatan dan rundingan yang dibuat oleh penganjur dengan pihak polis kali ini menyaksikan peserta perarakan sekadar berhimpun 100 meter dari pintu masuk utama Kedutaan AS, dan hanya lima wakil dibenarkan berjalan terus ke Kedutaan AS untuk menyampaikan memorandum.

Al-Aqsa
Sebahagian daripada peserta perhimpunan kempen Selamatkan Masjid Al-Aqsa yang berarak menuju ke pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dari bangunan Tabung Haji pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Pihak media juga dihalang daripada membuat liputan terus dari hadapan pintu masuk ibu pejabat kedutaan berkenaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Abdul Rahim adalah antara yang mendapat izin melepasi sekatan polis untuk ke masuk ke bangunan Kedutaan AS.

“Kita telah tuntut untuk berjumpa Duta Besar AS Joseph Yun tapi mereka sering memberi alasan bahawa dia tidak ada. Jadi yang menerima memorandum ialah Ketua Keselamatannya.

“Menurutnya, memorandum bantahan kita dan menurutnya ia akan segera disampaikan kepada Presiden Barack Obama melalui faksimile.

“Kita telah menegaskan kepadanya tentang kemarahan umat Islam Malaysia dan seluruh dunia bahawa kita meminta Presiden Obama mesti bertindak kerana dia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Israel,” ujar Mohd Azmi.

Menurut intipati memorandum berkenaan, perbuatan mencemar kesucian masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu oleh angkatan tentera Israel dan penduduk Yahudi adalah satu cabaran secara terang-terangan untuk mencetus perang terhadap Islam.

Memorandum itu menuntut agar Obama memerintahkan Israel keluar dari kawasan Masjid Al-Aqsa selain mendesak agar membebaskan semua rakyat Palestin yang ditangkap oleh pihak berkuasa Israel selain meminta Israel bertanggungjawab ke atas kecederaan orang awam serta kerosakan masjid.

"Kita menyatakan bahawa Masjid Al-Aqsa tidak boleh dipecahkan untuk kegunaan orang Islam dan Yahudi kerana ia adalah masjid kepunyaan orang Islam," tegasnya.

Masjid Al-Aqsa
Bendera Palestin gergasi turut diarak oleh peserta perhimpunan kempen Selamatkan Masjid Al-Aqsa di Jalan Tun Razak pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

"Kita bersatu hati tanpa mengira parti politik hari ini menyerahkan memorandum ini kepada pejabat Kedutaan AS kerana mereka adalah sekutu besar Israel yang membolehkan semua perkara itu terjadi ke atas Mssjid Al-Aqsa," kata Mohamad Raimi.

Pihak penganjur kempen juga memberitahu, akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejurus beliau pulang dari New York untuk menyatakan tentang intipati kempen dan perhimpunan tersebut selain saranan serta rundingan tindakan lanjutan mengenainya.

Perhimpunan aman tersebut disertai gabungan 47 badan bukan kerajaan (NGO) dan empat parti politik negara iaitu UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara.

Ditanya mengenai jumlah kehadiran peserta dalam perhimpunan tersebut, Mohd Azmi berkata, bilangan yang lebih besar boleh dicapai jika tidak disebabkan faktor keadaan jerebu dan memandangkan terdapat beberapa protes seumpamanya turut dijalankan di beberapa buah masjid di sekitar Lembah Klang.