BARU-BARU ini timbul kontroversi apabila Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyarankan agar kerajaan melantik pakar daripada komuniti bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Menggubal Undang-Undang Islam.

Bagi beliau, langkah itu perlu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam reaksi balasnya menyifatkan kenyataan Ngeh Koo Ham itu hanya berbentuk peribadi dan khilaf.

Lantaran itu, ramai ahli politik dan tokoh-tokoh Melayu Islam melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap saranan Ngeh.

Bagi mereka, perkara sebegini sudah berulang kali berlaku dan telah menjadi kebiasaan bagi ahli politik tertentu melontarkan pandangan yang dianggap biadap, mengancam perpaduan, dan keselamatan negara.

Perkara itu turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak boleh mencampuri hal ehwal umat Islam.

Ngeh kemudian memohon maaf atas tindakannya itu. 

Namun ini bukan kali pertama perkara seumpama itu berlaku. Ahli politik bukan Islam seharusnya lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu, umat Islam di negara ini, dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejujurnya, negara Malaysia akan terus berdepan dengan situasi sukar dari sudut keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara jika perbuatan menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak dibendung segera.

Kestabilan politik di Malaysia amat bergantung dan diimbangi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan yang sah bagi etnik-etnik lain.

Jika keseimbangan ini diganggu-gugat, kestabilan politik akan turut terencat dan membawa kepada perpecahan perpaduan kaum dan keselamatan negara.

Pahit untuk ditelan, ini berlaku rentetan konsep ideologi politik persamaan di bawah slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang ditujukan ke arah pembasmian apa yang dikatakan diskriminasi dan layanan tidak adil hasil Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ia menyebabkan orang Melayu berasa tidak senang, tergugat dan melihat slogan itu sebagai satu percubaan untuk mempersoal dan menafikan kedudukan mereka.

Ia tidak akan berlaku jika semua pihak akur, hormat dan faham akan wacana anak watan orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menjadi pasak bangsa di negara ini.

Ilmu hubungan etnik dan negara bangsa telah menggariskan kesemua negara bangsa memiliki etnik asal, anak watan, etno-simbol, etno-nasionalisme dan nasion. 

Namun negara bangsa adalah dinamik dan berubah-ubah. Ini bermakna negara bangsa boleh berubah ekoran migrasi, penerokaan, penjajahan, imperialisme, pembangunan, globalisasi dan digital pergerakan yang melanda dunia semenjak abad ke 16 hingga ke hari ini.

Contoh yang paling jelas berlaku seperti, di antaranya di benua Australia. Ahli sejarah menamakannya sebagai Gelombang Pertama Penerokaan, merujuk kepada penghijrahan peneroka dan peniaga oleh bangsa asing (yakni bangsa British) ke atas negara Australia atas dasar ‘tiada orang di kawasan itu - terra nullius’.

Gelombang Kedua Penerokaan pula berlaku apabila penjajahan dimulai oleh pedagang dan kerajaan sebagai penjajah yang menakluki sesuatu kawasan melalui peperangan dan penghapusan sistem politik pemerintah anak watan sedia ada negara  yang dijajah itu.

Sistem pemerintahan yang diamalkan berteraskan sistem dan kepentingan pedagang-kapitalis yang didokong oleh sistem pentadbiran, kehakiman dan agensi paksaan seperti polis dan tentera.

Seterusnya Gelombang Ketiga Penerokaan di mana setelah sistem politik dan pergerakan anti-penjajah anak watan dihapus oleh kuasa undang-undang dan agensi paksaan, mereka bangunkan sistem dan institusi pentadbiran moden demi mengaut keuntungan dari sumber bumi dan pada masa yang sama mengasingkan anak-anak jajahan hingga berlaku kemunduran dan kemiskinan dalam kalangan mereka.

Sistem sosial stratifikasi ras berdasar darah dan ekonomi berdasar kelas distrukturkan untuk menguntungkan golongan penjajah-pedagang dan orang kulit putih manakala anak watan diabaikan melalui diskriminasi institusi oleh penjajah hingga sukar untuk mereka mendapat hak tanah, keperitan ekonomi dan penggubalan undang-undang yang merugikan mereka.

Penjajah dalam Gelombang Ketiga ini juga mula mengimport atau membawa buruh paksa dari negara-negara jajahan mereka yang lain bagi mengerak kegiatan ekonomi, lombong bijih, prasana awam, perdagangan dan pekebunan komersial hingga terbentuk masyarakat majmuk.

Akhirnya masyarakat majmuk dibikin penjajah itu telah memisah, mengasing dan memutuskan pelbagai kaum yang ada tanpa nilai kebersamaan yang dapat mengikat mereka.

Negara bangsa masyarakat majmuk pasca penjajah ini yang mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah tidak lekang dari tindakan provokasi dan rampasan kuasa.

Pesaingan politik dalam amalan demokrasi bukan menjaga kepentingan warga negara yang terikat dalam satu unit politik tetapi menjadi dimensi-dimensi ras, etnik dan agama yang digembleng dan meletakkan kepentingan kumpulan etnik-agama masing-masing mengatasi pembinaan bangsa sepunya dalam mempolitikkan dasar pemerintahan dan pembangunan negara.

Antara isu kritikal politik di negara masyarakat majmuk pasca penjajah ini ialah terbinanya politik kumpulan etnik-agama bersifat zero-sum game; satu situasi di mana keuntungan serta perubahan ekonomi, sosial dan politik dalam ukuran kekayaan atau keuntungan material ternafi, sifar, kepada kumpulan-kumpulan etnik-agama lain.

Semenjak kebangkitan pergerakan sivil di USA seawal tahun 1960an, wacana negara bangsa sedunia turut mendapat tempias gelombang perubahan ini.

Bermula dengan penolakan sistem feudalisme di Perancis pada 1789, bagaimana sebuah negara bangsa demokrasi berubah menjadi sebuah negara bangsa sebagai sivik nasionalisme di mana keadilan, kebebasan, hak asasi, keterangkuman dan politik sosial demokrasi menjadi penggerak tanda aras sistem pemerintahan negara bangsa sedunia kontemporari.

Pada hari ini, tidak kira apa bentuk negara bangsa tamu atau peneroka, yang menjajah atau dijajah, sistem pemerintahan berasaskan kuasa kepada raja dan demokrasi autorarian telah ditolak di mana penglibatan urus rakyat jelata telah menjadi lebih terbuka, terutama dalam mengurus masyarakat aneka kepelbagaian dari segi etnik, agama dan komuniti warganegara lain bersama.

Namun begitu, pembangunan, migrasi, globalisasi dan dunia digital pada hari ini telah melahirkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi bukan sahaja di antara negara utara-selatan tetapi dalam negara itu juga di antara bandar-desa hingga lahir golongan development winner versus development loser and golongan kaya-berkuasa lawan miskin-tiada bersuara.

Dengan ketidakseimbangan sosial ini, mana-mana bentuk negara bangsa pun akan mengamalkan budaya politik dan sistem pemerintahan bukan menjadi lebih sivik sebaliknya menyaksikan kebangkitan politik sentimen etnik, multi-nasionalisme, dan multi-nasionalisme berdasar ideologi multi-kulturalisme cucu cicit komuniti migran dan ideologi kewatanan dalam kalangan anak-anak watan hingga ikatan koletif kebangsaan bangsa sepunya di antara mereka kan terungkai dan, akhirnya, pecah berderai. 

Dalam suasana pertembungan di antara kumpulan etnik ini melangkau ketidakseimbangan sosio-ekonomi hingga ke ruang politik dengan naratif multikulturalisme lawan kewatanan, kestabilan politik negara itu pasti tergugat dan berkrisis.

Nasionalisme ekonomi mungkin melahir pertembungan ketidakpuasan hati tetapi nasionalisme etno yang tidak diurus segera akan membangkitkan pergerakan resistan dalam kalangan anak watan yang tidak akan rela kerajaan mereka diperintah oleh ‘orang asing’.

Ini dapat diperhatikan dengan berlakunya kebangkitan perjuangan resistance anak watan seperti di USA dalam kalangan orang India Amerika dan orang Hawai’i; di Kanada oleh First Nation dalam kalangan orang Eskimo; di Afrika Selatan oleh kaum kulit hitam Afrika, di Singapura oleh Orang Melayu; dan di Fiji oleh etnik Fijian.

Landskap politik yang sama  turut melanda negara-negara barat seperti UK, German, Belanda, Perancis, dan sebagainya terhadap komuniti migran.

Apabila golongan anak watan adalah dalam kedudukan jumlah majoriti dan mereka menguasai institusi politik, kerajaan dan agensi keselamatan, naratif ideologi multikulturalisme yang menuntut kesamarataan dalam kesemua hal pasti ditolak.

Ini jelas telah berlaku di United Kingdom, Jerman, Australia, Myanmar, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei, dan Afrika Selatan di mana naratif ideologi bangsa multikulturalisme ditolak dalam penggubalan dasar awam negara bagi menggelak lahirnya politik ektremis, keganasan dan konflik oleh kerana berlakunya perpecahan kesatuan komunitarian dan masyarakat besar bangsa bersama.

Difahamkan wujud kumpulan kecil yang walaupun sudah menjadi warga Malaysia, namun masih gagal memahami lapisan sejarah dan warisan bangsa negara ini dengan mengangkat ideologi penjajah.

Perjuangan mereka berselindung di sebalik tuntutan hak asasi-undang sivik, kesamarataan, multi-kulturalisme serta keuntungan pasaran untuk menidakkan hak anak watan sebagai kuno, etno dan negatif.

Bangsa perlu dikukuhkan semula dengan membina hubungan dan solidariti kewatanan yang telah dipinggir oleh keganasan penjajahan dan peminggiran oleh tadbir urus kerajaan dan pembangunan negara pasca merdeka yang masih mengamal sistem kapitalisme laissez faire yang menguntungkan golongan kaya dan berkuasa.

Mengamal sistem kapitalisme laissez faire sebagai asas pembangunan negara lebih menguntung kapitalis, pedagang dan penduduk bandar dan anak watan terus terpinggir dan akhirnya ibarat melukut di tepi gantang.

Perkara ini perlu diambil serius. Peminggiran dan kehilangan kuasa dan suara anak watan pasti akan menggugat keamanan dan keselamatan sesuatu negara.

Sepertimana ingatan Amy dalam buku Chua “World on Fire”, anak watan tidak akan dan tidak sekali-kali dapat menerima orang asing memerintah mereka dan mengubah naratif bangsa kewatanan.

Etno-nasionalisme boleh membunuh dan ia berbeza dari nasionalisme ekonomi yang mengeruh suasana kehidupan sahaja.

Malaysia yang genap 66 tahun merdeka, telah menjadi saksi jatuh bangun negara dalam mencorak warna negara bangsa.

Namun, perjuangan ini belum selesai, kerana bangsa ini sejak dahulu telah pincang dan akan terus menongkah, pada saat bertelingkah janji Sang Jebat dan setianya Si Tuah.

Kepimpinan politik Tun Abdul Razak sangat ditagih pada masa ini untuk mengukuhkan bukan kemajuan negara tetapi bangsa sepunya bersatu padu, harmoni dan damai.
 


Dr Abdul Mutalib Embong ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.

Prof Mansor Mohd Noor ialah Profesor Honorari, Institut Kajian Etnik (KITA),  Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.