PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk pertama kali menerbitkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Pertama 2023 pada Jumaat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin semasa membentangkan laporan tersebut berkata, median upah bulanan pada Mac 2023 bagi pekerja formal warganegara adalah sebanyak RM2,600 melibatkan 6.45 juta orang pekerja.

Mohd Uzir memaklumkan pada Mac 2023, pekerja formal lelaki merangkumi 55.5 peratus atau seramai 3.58 juta orang dengan median upah sebanyak RM2,664 sebulan.

Sementara itu, pekerja formal wanita merangkumi  44.5 peratus bersamaan dengan 2.87 juta orang dengan median upah bulanan sebanyak RM2,545.

"Perbandingan dengan Mac 2022, median upah bulanan bagi kedua-dua pekerja formal lelaki dan perempuan menunjukkan trend yang meningkat, masing-masing sebanyak 8.0 peratus, dan 8.6 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Pertama 2023 yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini hari ini.

Melihat kepada situasi upah mengikut kumpulan umur, Mohd Uzir berkata median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 bagi pekerja formal ialah berumur 45 hingga 49 tahun dan 40 hingga 44 tahun sebanyak RM3,500, yang membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja formal.

Seterusnya, median upah bulanan mula menunjukkan penurunan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun dengan median upah bulanan sebanyak RM3,400 pada Mac 2023.

Sebaliknya, kumpulan umur bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 pada Mac 2023.

Mengulas lanjut megenai situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, Ketua Perangkawan berkata kesemua sektor merekodkan peningkatan dalam median upah bulanan.

"Bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, walaupun hanya mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 sebanyak RM7,500.

"Manakala, median upah bulanan terendah diterima bagi sektor pertanian iaitu sebanyak RM1,900, menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2023," katanya.

Mohd Uzir menambah, pada Mac 2023, median upah bulanan tertinggi diterima oleh Kuala Lumpur sebanyak RM3,927, diikuti oleh Selangor (RM2,964) dan Pulau Pinang (RM2,627).

Sebaliknya, Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan yang rendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,627 dan RM1,782.

Dari segi taburan upah pada Mac 2023, 34.8 peratus daripada pekerja formal Malaysia menerima pendapatan di bawah RM2,000.

Namun, peratusan ini menurun daripada 40.2 peratus yang direkodkan pada bulan Mac 2022, berkemungkinan kesan daripada kenaikan kadar gaji minimum mulai Mei 2022.

"Pada masa yang sama, kira-kira 5.2 peratus pekerja formal warganegara menerima upah tertinggi (RM15,000 dan ke atas).

"Sungguhpun begitu, nisbah upah antara kumpulan penerima upah tertinggi (persentil ke-90) dan kumpulan penerima upah terendah (persentil ke-10) menggambarkan penerima upah di kelas yang tertinggi menerima lebih dari 6 kali ganda upah berbanding penerima upah di kelas yang terendah," jelasnya lagi.