SEPANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada Rabu menganjurkan Simposium Penyelidikan 2024 dan mempamerkan penemuan daripada 10 projek penyelidikan yang dibiayai Geran Penyelidikan Masyarakat Digital (DSRG), yang dijalankan oleh kohort Kitaran 1 dan Kitaran 2 2023.

Kira-kira 230 pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor seperti komunikasi dan multimedia, pengamal industri, wakil kerajaan, ahli akademik dan aktivis menghadiri simposium bertemakan Memajukan Ekosistem Digital melalui Ketersambungan Lestari.

Simposium itu bermula dengan sesi panel yang mendalami pelbagai topik kritikal berkaitan dengan kesan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), keadaan adaptasi 5G dan cabaran ketersambungan di kawasan terpencil.

Penyelidikan R Thanuja dari Universiti Taylor berkaitan JENDELA, menekankan keperluan untuk penambahbaikan berterusan di kawasan yang kurang menerima perkhidmatan dan amalan terbaik di negara jiran.

Sesi itu juga membincangkan peluang 5G dalam sektor pertanian dengan penyelidikan Azizul Azizan dari Universiti Teknologi Malaysia mengenai bagaimana penyelesaian yang didayakan 5G, boleh merevolusikan sektor tersebut, dan pembentangan Nur'aina Daud dari Universiti Teknologi MARA mengenai kadar penerimaan pendigitalan dalam sektor minyak kelapa sawit.

Simposium itu antara lain turut membincangkan adaptasi penjagaan kesihatan digital dalam kalangan warga emas Malaysia, diketuai Dr Chang Jing Jing dari Universiti Tunku Abdul Rahman dengan pembentangan kajiannya yang mendedahkan bahawa kebanyakan warga emas terbuka untuk menerima pakai penjagaan kesihatan digital, jika mereka menerima latihan dan sokongan yang mencukupi.

Penyelidikan Chang menunjukkan enam faktor penting untuk penerimaan yang berjaya iaitu, infrastruktur digital yang mantap, celik digital dan penjagaan kesihatan, kesedaran yang tinggi, menangani keperluan khusus dan memahami persepsi warga emas.

Pada simposium itu, kohort penyelidikan 2023 turut membincangkan topik yang lebih besar, termasuk adaptasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam industri komunikasi dan multimedia, saling kendali antara pihak berkuasa pensijilan tandatangan digital, pengurusan e-sisa lestari dan celik media digital.

Mengulas mengenai simposium itu, Pengarah Direktorat Pemantauan Integrasi ASEAN Ahmad Zafarullah Abdul Jalil berkata penglibatan pelbagai pihak berkepentingan adalah penting dan membolehkan perbincangan yang membuahkan hasil dalam melancarkan inisiatif baharu untuk memperkukuh penggunaan 5G.

Beliau berkata perkara itu amat diperlukan, memandangkan spektrum luas pendekatan dan kesediaan negara ASEAN dalam melaksanakan teknologi yang agak baharu itu.

"Pada simposium ini semua program pembinaan kapasiti akan diketengahkan dan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju sedikit dalam aspek itu, boleh berkongsi kepakaran dengan negara ahli lain supaya kita boleh maju bersama dengan cara yang lebih sama rata.

"Penyelidik yang berada di barisan hadapan teknologi ini boleh menasihati dan memaklumkan kepada kami tentang perkara yang perlu kami ambil kira, apabila kami membangunkan inisiatif baharu. Saya rasa di sinilah simposium ini akan memberi manfaat yang besar kepada ASEAN sebagai sebuah rantau," katanya kepada pemberita ketika bertemu di sini semalam.

Sementara itu, SKMM memaklumkan telah menjalankan dua Calls for Proposals (CFP) untuk DSRG 2024, menjemput cadangan daripada institusi pengajian tinggi Malaysia berdasarkan keutamaan penyelidikan yang dikenal pasti.

"Kitaran pertama telah memberikan geran kepada sembilan penyelidik, manakala penilaian untuk kitaran kedua sedang berjalan. Pemohon yang berjaya akan memulakan penyelidikan mereka pada November 2024," menurut kenyataan MCMC.

-- BERNAMA