KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinetnya kelak akan segera memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan negara.

Presidennya Jufitri Joha berkata ini termasuk menstabilkan politik tanah air, menangani pandemik COVID-19, memacu ekonomi negara, membanteras rasuah dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum serta pelbagai ideologi politik.

Beliau juga berharap suara, isu dan perwakilan belia Malaysia serta pembangunan insan seimbang akan terus menjadi antara agenda utama kerajaan dan negara di semua peringkat dalam memacu pembangunan serta masa depan yang lebih cemerlang.

"Sebagai gerakan belia yang bersifat tidak berpihak dan suara rasmi belia Malaysia, MBM akan terus memberikan kerjasama dan dukungan dalam waktu yang amat sukar ini bagi membantu pihak kerajaan membangun dan memajukan negara ke tahap yang lebih baik termasuk di pentas global," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Jufitri turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

-- BERNAMA