Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk memanjat papan tanda 'IPOH' seperti aksi bahaya yang diviralkan dalam media sosial.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, perbuatan itu amat membahayakan nyawa pihak yang memanjat dan juga keselamatan pengguna jalan raya di Jalan Kuala Kangsar yang sangat sibuk.

Menurut beliau, struktur yang didirikan itu bukan untuk menampung beban tambahan seperti berat individu-individu tersebut.

"Sekiranya selepas ini berlaku sebarang insiden yg melibatkan perkataan 'IPOH' tersebut tumbang dan menimpa pengguna-pengguna jalanraya, pihak MBI ingin menegaskan bahawa ianya berkemungkinan besar berpunca daripada pencerobohan yang dilakukan oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas viral di dalam media sosial yang menunjukkan sekumpulan gadis melakukan aksi merbahaya di atas papan tanda yang dipercayai terletak di atas bukit di Jalan Kuala Kangsar

Dalam salah satu kenyataan yang disiarkan, salah seorang daripada mereka mengucapkan terima kepada MBI yang kononnya memberi kebenaran untuk memanjat papan tanda berkenaan.

Zamri berkata, MBI akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan remaja tersebut dan akan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan keras dikenakan terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, MBI juga akan mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme yang mana hukumannya adalah denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.