Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menasihatkan orang ramai berwaspada sehingga akhir tahun.
Menurutnya, berdasarkan laporan itu, fenomena banjir yang berlaku kali ini mirip seperti yang berlaku pada 2014.
“Tapi banjir 2014 dia berlaku serentak, yang ini nampak tak serentak, berlaku secara berulang-ulang di tempat yang sama dan di tempat baharu.
“Jadi semua pegawai daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan semua jabatan yang terlibat termasuk ketua-ketua kampung, kena mengambil perhatian.
“Mereka kena ingatkan anak buah masing-masing, semua orang yang rumahnya berhampiran dengan sungai, bukan Sungai Perak saja, sungai, anak sungai, apa-apa saliran termasuk dalam bandar pun kena sentiasa berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak kali ke 48 di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan apa yang berlaku ketika ini, hujan turun tidak menentukan dengan kadar yang sangat banyak dan berlarutan untuk tempoh lama.
Pada Rabu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menasihatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sungai Siput agar tidak pulang ke rumah ekoran banjir gelombang kedua telah bermula sejak malam Selasa.
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, jumlah mangsa yang berlindung di 11 PPS terus meningkat kepada 1,330 orang pada tengah hari Khamis, berbanding 1,299 orang pada sebelah pagi.
Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir pula, paras air Sungai Bidor di Hilir Perak dan Sungai Rui di Hulu Perak melepasi tahap amaran manakala Sungai Kampar serta Sungai Perak di Perak Tengah pula melepasi tahap waspada.