Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warganegara India yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal pada Isnin lalu ditamatkan apabila mayat mangsa ditemui terapung berhampiran jeti Kampung Serban Batang Lassa, Daro Rabu malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supritendan Collin Babat berkata, mayat mangsa yang ditemui oleh orang awam pada jam 11 malam Rabu.

Menurut saksi, dia yang sedang duduk bersantai dengan seorang rakan di jeti itu ternampak mayat terapung hanyut dari arah hulu ke hilir sungai sebelum menghubungi pihak polis.

Mayat tersebut kemudian diangkat pihak polis dari IPD Daro yang turut dibantu oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Sibu.

Jelas Collin lagi, tiada kesan kecederaan didapati pada tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.