Menurut maklumat terkini dalam laman webnya, Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat berkata mayat itu disahkan sebagai Juruteknik Elektronik Kelas Ketiga Kenneth Aaron Smith, 22, yang berasal dari New Jersey.
Berikutan itu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah menggantung operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi 10 kru yang hilang di kawasan pencarian kira-kira 2,100 batu persegi ke timur Selat Melaka dan Singapura.
Operasi SAR yang terdiri daripada pelbagai agensi digantung selepas usaha mencari dijalankan selama lebih 80 jam.
Bagaimanapun, penyelam dari Tentera Laut Amerika Syarikat dan Kor Marin akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat di bahagian-bahagian yang ditenggelami air dalam kapal tersebut untuk mencari kelasi-kelasi yang hilang.
Dalam laman web, Tentera Laut Amerika Syarikat menyenaraikan sembilan anak kapal yang masih hilang.
Mereka terdiri daripada:
- Juruteknik Elektronik Kelas Pertama Nathan Findley, 31, dari Missouri
- Juruelektrik Komunikasi Dalaman Kelas Pertama Abraham Lopez, 39, dari Texas
- Juruteknik Elektronik Kelas Kedua Kevin Sayer Bushell, 26, dari Maryland
- Juruteknik Elektronik Kelas Kedua Jacob Daniel Drake, 21, dari Ohio
- Juruteknik Sistem Informasi Kelas Kedua Timothy Thomas Eckels Jr., 23, dari Maryland
- Juruteknik Sistem Informasi Kelas Kedua Corey George Ingram, 28, dari New York
- Juruteknik Elektronik Kelas Ketiga Dustin Louis Doyon, 26, dari Connecticut
- Juruteknik Elektronik Kelas Ketiga John Henry Hoagland III, 20, dari Texas
- Juruteknik Komunikasi Dalaman Kelas Ketiga Stephen Palmer, 23, dari Illinois
Singapura akan terus membantu Tentera Laut Amerika Syarikat dalam usaha mencari yang kini tertumpu di kapal pemusnah kelas Arleigh Burke, USS John S McCain.
Operasi SAR Singapura yang diselaraskan dengan Amerika Syarikat, Malaysia dan Australia menjalankan pencarian di kawasan seluas 5,524 kilometer persegi melibatkan lebih 300 kakitangan daripada pelbagai agensi Singapura sejak empat hari lepas.
"Sebagai agensi penyelaras untuk operasi SAR selama empat hari, MPA merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan dari negara-negara yang bekerja tanpa mengenal penat dengan agensi-agensi Singapura untuk membantu Tentera Laut Amerika Syarikat," kata Ketua Eksekutif MPA, Andrew Tan, dalam satu kenyataan di sini.
"Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang anak-anak kapal yang terkorban, dan berharap semoga kru yang cedera segera sembuh," kata Tan.
-- BERNAMA