Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di rumah kongsi 20 pintu di tapak pembinaan Persiaran Alif Harmoni, dekat Taman Damansara Alif, di sini, awal pagi Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supt Beh Eng Lai yang mengesahkan kejadian itu berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mayat berkenaan.

"Keseluruhan rumah kongsi 20 pintu yang didiami dua pekerja setiap pintu, termasuk stor simpanan peralatan kerja hangus terbakar.

"Mayat itu ditemui anggota bomba dan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurut Beh, rumah kongsi itu merupakan penempatan pekerja bagi projek perumahan di situ.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Johor Bahru, Penguasa Bomba Kanan II, Ibrahim Mat Zain berkata pada kejadian pukul 2.30 pagi itu, tiga jentera bomba dan 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pada mulanya saya dimaklumkan oleh penduduk sekitar, tiada mangsa di dalam rumah kongsi berkenaan. Bagaimanapun, kami menjumpai ada mangsa yang terbakar selepas selesai operasi memadamkan api," katanya ketika dihubungi.

Ibrahim berkata pihaknya berjaya mengawal api 20 minit setelah sampai di tempat kejadian dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.30 pagi.