PORT DICKSON: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan mengesahkan penemuan satu mayat terapung di sekitar perairan Tanjung Tuan dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata pusat operasi menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada pemancing di kawasan perairan berkenaan.

Susulan itu, bot PERKASA 37 yang sedang dalam operasi diarahkan ke lokasi dan mendapati mayat itu seorang lelaki hanya berseluar panjang di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya Tanjung Tuan.

"Mayat tanpa identiti itu dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut boleh terus menghubungi pusat operasi maritim atau kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

-- BERNAMA