MELAKA: Kerajaan Melaka menyasarkan jualan tiket produk pelancongan dan tempahan bilik hotel bernilai RM10 juta menerusi penganjuran Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka 2022 pada 8 dan 9 Oktober ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata pameran anjuran MATTA Chapter Melaka dengan kerjasama Tourism Melaka yang akan berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir itu turut menyasarkan kedatangan 20,000 pengunjung.

Beliau berkata 29 pempamer dari dalam dan luar Melaka akan menyertai pameran berkenaan termasuk Tourism Pahang dan 52 gerai pameran disediakan bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan pelancongan dengan tawaran potongan harga serta pakej percutian menarik.

"Kita berharap penganjuran MATTA Fair Melaka 2022 akan dapat menarik lebih banyak pelancong ke negeri ini selaras dengan sasaran kedatangan 5.6 juta pelancong pada tahun ini.

"Selain itu, kita juga berharap rakyat Malaysia mengambil peluang mendapatkan pakej pelancongan atau percutian pada harga lebih murah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Jailani berkata pameran berkenaan akan memberi fokus kepada 14 subsektor pelancongan negeri Melaka iaitu sejarah, budaya, rekreasi, sukan, beli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, agro, makan-makan, belia, ekopelancongan, keagamaan dan Melaka: Rumah Kedua.

Beliau berkata pakej pelancongan berkenaan ditawarkan untuk pelancongan berkumpulan atau keluarga selain pakej individu dan tempoh sah laku pakej berkenaan adalah hingga 2024.

"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya membeli pakej pelancongan daripada ejen atau agensi pelancongan berlesen atau beli terus pada MATTA Fair yang sering dianjurkan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata 'Melaka by Sea Carnival 2022' akan berlangsung di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini selama tiga hari bermula 29 Oktober ini.

Beliau berkata pelbagai acara sukan dipertandingkan seperti tarik tali, Muay Thai, panjat tembok, larian ria, kayak dan bola tampar pantai.

"Kita menyasarkan sebanyak 1,200 penyertaan bagi semua acara sukan yang dipertandingkan dan 15,000 pengunjung hadir memeriahkan karnival pantai yang akan menjadi satu daripada acara tahunan pelancongan Melaka," katanya.

-- BERNAMA