GERIK: Masyarakat Orang Asli di sini, tidak dilupakan sempena kehadiran Ramadan apabila beberapa pihak tampil memberikan sumbangan dalam meringankan beban masyarakat tersebut ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Sumbangan dilaksanakan menerusi program satu kampit beras satu keluarga anjuran Kolej Komuniti Gerik Perak (KKGP), NGO MyCARE Hulu Perak, Jabatan Penerangan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Hulu Perak/Baling dan Pejabat Penerangan Hulu Perak.

Ia melibatkan masyarakat Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Tasik Banding.

Pengarah KKGP Ahmad Rizal berkata program itu juga bertujuan berkongsi maklumat kepada komuniti tersebut akan peranan pihaknya selaku penyedia pendidikan Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET) dan kursus pendek selain tanggungjawab sosial korporat kepada komuniti Hulu Perak.

Foto: Facebook \ Kolej Komuniti Gerik

Menurutnya, program itu juga antara lain memberi kesedaran kepada keperluan masyarakat Orang Asli supaya bersama-sama dalam sistem pendidikan TVET negara.

"Ia juga untuk membina jalinan komunikasi baharu dengan masyarakat Orang Asli dan agensi luar selain menyumbang rezeki di bulan Ramadan yang mulia ini, " katanya pada majlis penyerahan tersebut.

Ahmad berkata aktiviti yang dijalankan itu juga adalah berfokus kepada khidmat masyarakat, penghebahan info terkini dan penyediaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta peluang pengajian sepenuh masa di Kolej Komuniti Gerik.

-- BERNAMA