BANGI: Malaysia disaran untuk menganjurkan persidangan transnasional bagi menyatupadukan pemimpin belia Islam seluruh dunia untuk senada dalam memperjuangkan isu Palestin.

Pakar perundangan dari Kolej Undang-undang Sandra Day Arizona State University yang juga seorang ulama Prof Khaled Beydoun yang mengutarakan saranan itu berkata dengan sokongan kerajaan Malaysia dan sekutunya yang kuat di peringkat antarabangsa, persidangan itu mampu menjadi satu bentuk kerjasama penting, di samping memupuk kewujudan satu barisan hadapan bersepadu bagi aktiviti sedemikian pada masa hadapan.

Dengan kedudukan Malaysia yang strategik dan sejarahnya yang begitu kuat menyokong Palestin, beliau berpandangan negara ini boleh menjadi tuan rumah yang ideal bagi persidangan sedemikian, yang akan membolehkan pemimpin belia berhubung secara langsung dan berkongsi pengalaman serta strategi.

"Ia akan membina hubungan dalam kalangan belia yang merentasi negara, supaya pada masa hadapan jika terdapat gejala genosid, kita sudah ada gerakan global yang lebih bersatu dan bersepadu dalam kalangan belia, dan mereka boleh saling bergantung antara satu sama lain bagi tujuan perkongsian maklumat, sumber dan pengetahuan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah dan Dialog mengenai Persoalan Palestin: Perspektif Global mengenai Keadilan dan Hak Asasi Manusia di sini pada Ahad.

Program anjuran MyAqsaDefenders, yang merupakan gabungan belia memperjuangkan nasib Palestin ini diadakan dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, dan Droplets of Mercy.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al Nuri dan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) turut hadir pada majlis ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif GPM Syahrir Azfar Saleh berkata MyAqsaDefenders menyambut baik cadangan yang dibuat Khaled, dan memaklumkan pihaknya sedang merancang untuk mengadakan persidangan itu pada tahun depan.

Syahrir Azfar yang juga seorang daripada pengasas MyAqsaDefenders berkata persidangan itu bertujuan memberikan isyarat bahawa suara anak muda boleh mengubah dunia terutama dalam perjuangan membebaskan Palestin.

"Kita nak jadikan Malaysia hab, untuk kita panggil orang-orang berpengaruh (dalam memperjuangkan Palestin) yang boleh memberikan pandangan mengenai isu ini, antaranya ahli akademik, aktivis, badan bukan kerajaan (NGO).

"Dari segi politik, para pemimpin dunia perlu melakukan sesuatu..kita mahu persidangan ini menjadi faktor pendesak yang boleh sampai tahap kita boleh mengubah dasar dunia, sebagai contoh," katanya.

-- BERNAMA