Mashitah, 60, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 9 September lalu dengan menamakan Pengerusi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim, 45, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, bekas Ahli Parlimen Baling yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Hishamuddin memuat naik, menyiar, menerbit dan menyebarkan satu video kenyataan media berserta kapsyen "Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar" yang dibuat ketiga-tiga defendan menerusi akaun Facebook "Hishamuddin Hashim" pada 28 Ogos lepas.
Dakwanya, pada hari sama, Azirul Syafiq dan MHO memuat naik, menerbit dan menyebarkan satu kenyataan media bertulis oleh MHO yang disediakan oleh Hishamuddin bertarikh 26 Ogos, berkaitan video terbabit dalam akaun Facebook MHO dan akaun TikTok milik Azirul Syafiq.
Beliau berkata melalui video itu, MHO dan Hishamuddin menunjukkan beberapa keping gambarnya (Mashitah) yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan.
Selain itu, Mashitah mendakwa Hishamuddin dan MHO memuat naik, menerbit dan menyebarkan satu hantaran fitnah di Facebook milik dua defendan itu pada 3 Sept.
Menurut plaintif, kenyataan-kenyataan yang didakwa fitnah itu membawa maksud kononnya plaintif dan suaminya Datuk Abdul Shakor Abu Bakar terbabit secara langsung dengan sebuah syarikat bernama Dongmei Group yang terlibat dengan aktiviti jenayah pemerdagangan manusia, perjudian dan dadah di Myanmar serta peringkat antarabangsa.
"Kononnya saya dan suami mempunyai hubungan perniagaan serta persahabatan dengan seorang lelaki yang didakwa sebagai pengasas serta ahli sindiket kepada satu kumpulan mafia dikenali sebagai '14K' maka saya ialah individu yang sama-sama terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia termasuk pemerdagangan rakyat Malaysia," dakwa plaintif.
Plaintif berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi, maruah dan statusnya sebagai seorang figura terkenal, ahli politik kanan serta ahli perniagaan yang disegani dan dihormati masyarakat umum tempatan serta antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, plaintif menuntut ketiga-tiga defendan membuat permohonan maaf, membayar ganti rugi am, teruk dan teladan selain memohon injunksi mandatori supaya mereka memadamkan kenyataan serta video yang didakwa memfitnahnya dalam masa tujuh hari.
Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mashitah ketika dihubungi Bernama berkata tuntutan saman itu telah diserahkan kepada ketiga-tiga defendan hari ini dan mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 17 Sept ini.
-- BERNAMA