Menegaskan perkara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu akan membawa kepada kedamaian yang berterusan, pemberian bantuan dan pembinaan semula Gaza.
Jelas Perdana Menteri lagi, beliau menyambut baik gencatan senjata di Gaza, dan memuji usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) dalam mendesak semua pihak yang terlibat.
“Sesungguhnya, ini adalah keutamaan yang paling segera.
“Keadilan dan akauntabiliti tetap penting, begitu juga dengan keperluan untuk sebuah negara Palestin yang sah, berdaulat dan bebas, serta keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics di sini pada pagi Jumaat waktu tempatan.
Perdana Menteri menambah keperluan asas perlu dikembalikan dan mengelakkan perbezaan serta perselisihan.
Ia katanya, akan dapat lebih menghargai persamaan, nilai-nilai dan tradisi yang dikongsi bersama.
“Sesungguhnya, kemanusiaan asas kita, mendesak kita untuk melindungi kehidupan dan kesejahteraan manusia kerana hak asasi manusia, termasuk hak untuk hidup, adalah hak sejagat yang dimiliki oleh semua,” tambah Anwar.
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.
Fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.