Masalah peribadi, hutang dipercayai punca pengawal keselamatan dibunuh
Masalah peribadi dan hutang dipercayai motif pembunuhan pengawal keselamatan yang mayatnya ditemukan dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, Sabak Bernam, 16 Sept lepas.
Bernama
Sun Sep 29 2024
Robin berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan terhadap seorang lelaki berusia 20-an yang juga rakan sekerja mangsa, yang ditahan sehari selepas penemuan mayat terbabit. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Masalah peribadi dan hutang dipercayai motif pembunuhan pengawal keselamatan yang mayatnya ditemukan dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, Sabak Bernam, 16 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Robin Guha Thakurta berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan terhadap seorang lelaki berusia 20-an yang juga rakan sekerja mangsa, yang ditahan sehari selepas penemuan mayat terbabit.
Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan daripada lelaki terbabit termasuk tiga pisau dan pakaian dipercayai digunakan ketika kejadian.
"Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh menemukan kesan tikaman, kelar serta kecederaan akibat objek tumpul dan keras pada beberapa bahagian badan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Robin berkata lelaki berkenaan yang kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan didakwa di Mahkamah Kuala Selangor esok.
Sebelum ini Robin dilaporkan berkata mayat pengawal keselamatan berkenaan dijumpai selepas pihaknya menerima maklumat daripada anggota kereta peronda polis pada 6.04 petang, 16 Sept lepas.