MAS hari ini menyatakan rasa terkejutnya di atas laporan beberapa media bahawa terdapat sebuah buku yang kononnya memberi informasi eksklusif mengenai tragedi MH370.

Buku itu yang ditulis oleh seorang yang dianggap ‘pakar’ iaitu wartawan Geoff Taylor dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kiwi Travel International Airlines yang sudah lama tidak beroperasi, Ewan Wilson.

“MAS terkejut dengan dakwaan bahawa juruterbang MH370 dengan sengaja mematikan bekalan oksigen di dalam kabin dan mengaktifkan sistem auto-pilot yang menyebabkan pesawat itu hilang.

“Tiada bukti untuk menyokong mana-mana dakwaan yang dibuat di dalam buku itu, yang merupakan produk yang terhasil semata-mata untuk keuntungan penulis dan penerbit.

“Kedua-dua mereka tidak terlibat dalam penyiasatan MH370, namun mereka menawarkan analisis di luar pengetahuan dan kebolehan mereka.

“Penulis dan penerbit harus malu dengan tindakan berniat menghina dan untuk publisiti murahan ini,” katanya.

MAS berkata ia adalah syarikat yang mempunyai integriti dan tidak akan bertolak ansur dengan dakwaan yang tidak berasas seperti ini.