Kedudukan Melayu boleh ditebus dan dikembalikan dengan memastikan terlaksananya kejayaan dan kecemerlangan kaum itu sendiri dalam semua bidang dan jurusan.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata kedudukan Melayu tidak boleh ditebus dengan memboikot, menyimpan perasaan dendam atau berkelahi dengan bukan Melayu seperti disaran pembangkang.

“Kejayaan dan kecemerlangan ini hanya boleh dicapai jika Melayu memiliki keazaman, ketekunan, rajin, fokus, amanah, mampan, berdisiplin serta berintegriti dalam apa sahaja amanah, tugasan serta tanggungjawab yang dipikul atau diberikan.

“Tidak kira apa pun tanggungjawab itu sama ada politik, ekonomi, perkhidmatan awam, pengurusan, penyelidikan, pendidikan, sosial, agama, bertani atau nelayan, perniagaan serta keusahawanan, strategiknya adalah Melayu menyempurnakan tanggungjawab itu melalui penghayatan nilai-nilai unggul berkenaan.

“Inilah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bila menyatakan Melayu belum sedar dan masih enggan bekerja.

"Sebenarnya bukannya Dr Mahathir menghina atau memperlekeh bangsa Melayu tetapi satu cabaran atau ledakan untuk berubah, sebagai pembuka mata kepada Melayu yang masih lagi sedang terlena dan khayal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

BACA: Tun Mahathir pertahan kenyataan Melayu enggan kerja keras

BACA:
Orang Melayu tak sedar, masih anggap diri 'Tuan' - Tun M

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam penulisan di blognya menegaskan masih ramai orang Melayu yang enggan melakukan kerja susah sehingga negara menyaksikan kemasukan tenaga kerja asing yang begitu ramai.

Dalam pada itu, tegas Rahim, realitinya lebih setengah juta warganegara yang masih menganggur kebanyakannya generasi muda sedangkan berjuta-juta pekerja asing dibawa masuk untuk mengambil peluang kerja dalam bidang pembinaan, perladangan, hospitaliti dan domestik.

“Pemimpin dahulu walaupun sedar situasi dan kerenah pekerja tempatan yang lemah dan suka melepak, merempat dan selain terlalu memilih kerja tidak pula berazam untuk merubah situasi, minda dan mentaliti yang lemah longlai ini.

“Tetapi mereka sebaliknya mengeksploitasinya untuk kekayaan diri sendiri. Mereka jadikan peluang ini sebagai satu jambatan menghimpunkan kekayaan luar biasa, yang tidak masuk akal sama sekali banyaknya kekayaan yang dihimpunkan itu sehingga rakyat menjadi jijik dan marah lalu menghumban mereka ke luar koridor kuasa sebagai pengkhianat.

“Malangnya, kejatuhan tragik ini masih belum menyedar dan menginsafkan mereka. Mereka masih bertungkus lumus mahu memimpin bangsa Melayu yang mereka sendiri telah musnahkan dan khianati,” jelasnya.

Dr Mahathir dalam satu ceramah anjuran GABEM sebelum ini pernah mengingatkan kepada semua pemimpin ekonomi dan perniagaan serta usahawan Bumiputra tentang pentingnya disiplin dalam membina kejayaan ekonomi bangsa Melayu.

“Disiplin adalah asas integriti dan tanpanya, Melayu akan kekal di tahap lama.

"Mungkin dalam masa 20 tahun akan datang atau empat pilihan raya umum (PRU) lagi, baru mereka sedar, insaf dan kesal.

"(Ini) kerana tanpa integriti, ditambah pula dengan sifat suka bergaduh dan berpecah, Melayu bukan saja akan hilang kerusi Parlimen yang mereka miliki sekarang, malah hilang bersamanya adalah kuasa eksekutif untuk negara.

"Akhirnya, jadilah Melayu pengemis di tanah air sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, ramai yang tersenyum dahulu apabila Dr Mahathir mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa akan lebur dan hancur sebelum tahun 2020 kerana amalan rasuah.

“Pada masa itu ahli UMNO mempersenda, tersenyum sinis dan mentertawakan ramalan Dr Mahathir itu.

“Namun, dengan kehendak Allah, kebanyakan pemimpin yang sama inilah kini pucat lesi, menangis tidak berlagu dan menanti hari pembalasan masing-masing,” katanya.