KUALA LUMPUR: ASEAN perlu dilihat sebagai sebuah platform ekonomi strategik yang mampu memastikan harga barangan kekal stabil tanpa bergantung kepada negara luar.

Menurut Ketua Pegawai Strategik Agrobank, Mohamad Taufik Mahamad Zakaria, ia berpotensi mengukuhkan kedudukan ekonomi ASEAN di persada global dan memastikan kestabilan harga serta daya tahan ekonomi rantau ini.

Katanya, ASEAN juga perlu menjadi pemangkin kepada perubahan landskap pemikiran strategik, khususnya dalam sektor pertanian dan ekonomi asas di peringkat antarabangsa.

"Mengenai bagaimana ASEAN sebagai sebuah platform dapat memastikan harga tidak terlalu tinggi, ia adalah dalam bentuk strategi menang-menang.

"Sebenarnya, ASEAN berpotensi untuk saling membantu tanpa perlu bergantung kepada negara-negara luar.

"Ini mungkin satu permulaan yang baik memandangkan kita akan mempengerusikan ASEAN tidak lama lagi.

"Dan diharapkan platform ini dapat mengubah landskap serta cara kita berfikir untuk mengatur strategi ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian, di peringkat antarabangsa," katanya ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi hari ini.

Mohamad Taufik berkata, ASEAN juga boleh memanfaatkan kekuatan negara anggota masing-masing dengan mengkhususkan pelaburan pada sektor tertentu.

Ia sekali gus memberi ruang kepada kesemua negara ini merangka pelaburan yang bersepadu dan lebih efisien yang berupaya meningkatkan kecekapan ekonomi serantau.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup sebelum ini turut menekankan kepentingan untuk memupuk hubungan yang rapat dalam kalangan komuniti ASEAN, khususnya berkaitan keterjaminan makanan dan bantuan kecemasan semasa krisis.

Jelas beliau, platform seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Campur Tiga kali ke-24 yang diadakan pada 25 Okt lalu, membuka ruang untuk kerjasama ASEAN dengan negara APT dalam bidang pertanian dan perhutanan, diperkukuh.