SHAH ALAM:Polis tidak menolak mangsa-mangsa jenayah seksual melibatkan seorang pendakwah selebriti yang masih direman ketika ini disebabkan tertarik dengan gaya suspek.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, rata-rata mangsa tertarik dengan cara suspek menyakinkan mereka.






BACA:  Polis terima enam laporan kesalahan seksual pendakwah selebriti

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah terbabit berikutan kebanyakan mangsa berusia sekitar 21 hingga 25 tahun.

"Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenang dan meyakinkan mangsa, terutama bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa.

"Tarikan daripada segi rupa paras itu bergantung pada yang melihat, ada nampak dia tampan, ada sebaliknya, tetapi cara dia bercakap yang dapat menarik mangsa," katanya lagi.

Dalam pada itu, Noor Azam tidak menolak kelewatan mangsa membuat laporan polis disebabkan malu kerana perkara itu membabitkan maruah diri.

"Kadang-kadang mangsa malu, kita tidak boleh salahkan mangsa sebab ini melibatkan maruah tetapi apabila seorang keluar, mesti dua tiga orang mangsa akan keluar lagi.

"Jadi saya menyeru, yang pernah jadi mangsa datanglah ke balai dan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan, tidak perlu takut," katanya.

Polis juga, kata Noor Azam, sedang menyiasat semua laporan dibuat oleh mangsa daripada pelbagai sudut sebelum diserahkan siasatan kepada Timbalan Pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya.

Reman ke atas pendakwah selebriti itu yang ditahan ekoran dakwaan merogol seorang gadis telah dilanjutkan sehingga Ahad ini.

Suspek yang berusia 25 tahun itu disiasat dibawah Seksyen 376, 354,377 dan 323 Kanun Keseksaan.