Sumber memaklumkan, ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara 30 hingga 50-an, ditahan kira-kira antara 12 tengah hari hingga lima petang semalam dalam satu operasi dijalankan di Bedong, Sungai Petani dan Pejabat SPRM Kedah.
Katanya, urusan meminta dan menerima rasuah itu disyaki dilakukan kononnya bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan pendakwah tersebut yang sedang disiasat polis.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000 tetapi mereka hanya menerima RM20,000 dari pendakwah tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu ketiga-tiga individu berkenaan hari ini dibawa SPRM ke Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 8.45 pagi tadi bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Majistret, Siti Nor Hasliza Md. Ali membenarkan kesemua mereka direman selama empat hari hingga 9 November depan.
Terdahulu aktivis politik berkenaan yang hadir dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren beberapa kali melaungkan ayat 'lawan tetap lawan' ketika gambarnya dirakam pemberita.
Malah ketika diiring keluar dari lokap mahkamah, aktivis politik itu mendakwa selepas ini dia akan membuat laporan polis berkaitan tuduhan menipu dilakukan pihak tertentu.
Dia turut mendakwa kes membabitkannya itu adalah satu bentuk penganiayaan bagi memburukkan nama kumpulan yang menyokong seorang bekas Perdana Menteri.